Home Hiburan EXIST BIKIN KONSERT KENANGAN SENTIMENTAL DI JOHOR

EXIST BIKIN KONSERT KENANGAN SENTIMENTAL DI JOHOR

NEGERI Johor kekal menjadi negeri bertuah yang menyaksikan lembaran sejarah awal pembentukan kumpulan legenda muzik tanah air, Exists sebelum aktif dalam industri seni hingga ke hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, Mengetengahkan simbolik emosi kepulangan ke tanah kelahiran, kumpulan itu kini bersiap sedia menghiburkan peminat menerusi penganjuran Konsert Exists Pulang Live In JB pada 9 Januari depan.

Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu bakal diadakan di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor.

Mengangkat judul Pulang, konsert berkenaan membawa makna yang tersendiri apabila Exists kembali membuat kemunculan di negeri asal mereka yang menjadi saksi bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum menempa kejayaan.

Istimewanya, persembahan itu bakal menampilkan tujuh anggotanya secara lengkap iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah (pemain gitar), Musa (pemain bass), Ujang (pemain dram) serta Ajai (pemain keyboard).

Gabungan mantap mereka bakal membawa peminat menikmati rangkaian karya daripada lapan album studio Exists merangkumi fasa perjalanan muzik mereka.

Lebih tiga dekad mewarnai industri seni tempatan, Exists menghasilkan pelbagai lagu popular yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat tidak kira generasi.

Peminat berpeluang menikmati lagu-lagu yang pernah mencipta fenomena dan menjadi sebahagian kenangan generasi terdahulu, selain terus dikenali oleh pendengar masa kini.

Antara karya popular yang sinonim termasuk Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Jesnita dan Langkah Seiringan yang memperlihatkan identiti muzik kumpulan itu serta terus menjadi pilihan peminat.

Kehadiran Mamat dan Ezad sebagai vokalis turut memberikan warna tersendiri kepada persembahan, memandangkan kedua-duanya mempunyai sejarah dan sumbangan tersendiri dalam pelbagai karya dihasilkan.

Konsert ini juga adalah kerjasama kali kedua antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu yang berjaya menarik kira-kira lautan 14,000 penonton.

Pencapaian itu menjadi pendorong utama buat kedua-dua syarikat untuk sekali lagi berganding tenaga membawakan Exists, sebuah kumpulan yang mempunyai sejarah dan hubungan cukup istimewa dengan Johor.

Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz Abd Hamid berkata, kejayaan lalu menjadi pengalaman bermakna yang menyuntik semangat mereka untuk meneroka penganjuran konsert berskala lebih besar.

“Berbekalkan pengalaman pertama tersebut, kami kembali dengan penganjuran konsert Exists Pulang Live In JB sebagai kesinambungan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat muzik, khususnya di Johor Bahru.

“Pemilihan Exists sebagai artis utama turut membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan Johor adalah tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan tersebut sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mula mencipta nama di Johor, judul Pulang bukan sekadar nama konsert sebaliknya membawa simbolik kepulangan ke tempat asal dan penghargaan terhadap perjalanan yang membentuk identiti Exists hingga kini.-HMetro Online-

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here