KUALA LUMPUR: Banjir kilat di sekitar Shah Alam awal pagi tadi menyebabkan penutupan laluan utama dan kesesakan trafik teruk ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja, pagi ini.
Memetik laporan Berita Harian, Antara lokasi terjejas ialah Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) serta beberapa jalan berhampiran Seksyen 13 dan Bukit Jelutong.
Tinjauan menerusi perkongsian gambar dan video pengguna media sosial Threads menunjukkan kenderaan berbaris panjang di beberapa laluan, manakala sebahagian jalan dinaiki air.
Seorang pengguna Threads, @rajanurzafeerah, berkongsi rakaman kesesakan berhampiran Plaza Tol Bukit Jelutong dan NKVE menerusi hantaran yang dikemas kini pada jam 6.45 pagi.
Rakaman itu memperlihat deretan kenderaan bergerak perlahan di laluan bertingkat berhampiran kawasan yang dinaiki air.
Di Seksyen 13, Shah Alam, pengguna Threads @yayatoya_ pula berkongsi gambar jalan yang ditenggelami air sehingga menyukarkan perjalanan ke tempat kerja.
Pengguna berkenaan mendakwa sudah hampir sejam mencari laluan untuk ke pejabat berikutan penutupan jalan di kawasan itu.
Sementara itu, pengguna Threads @fazxrrxx turut melaporkan kesesakan teruk di Lebuh Raya Persekutuan dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan serta tidak meredah kawasan dinaiki air.
Seorang lagi pengguna, @nabilashahirah11, mendakwa perjalanan dari Setia Alam yang bermula pada jam 6 pagi terganggu akibat kesesakan, sebelum berjaya keluar dari kawasan Jalan UiTM Shah Alam kira-kira jam 7.36 pagi.
Terdahulu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hebahan pada jam 4.07 pagi memaklumkan banjir kilat di Kilometer 9.1 NKVE di antara Shah Alam dengan Subang menyebabkan semua lorong kedua-dua arah terhalang.
Trafik dari Bukit Raja menghala ke utara dilencongkan ke Setia Alam, manakala kenderaan dari Subang menghala ke selatan dilencongkan ke ELITE.
Pada jam 3.20 pagi, PLUS turut mengeluarkan hebahan mengenai penutupan semua lorong sebelum memasuki Plaza Tol Shah Alam, manakala pada jam 5.30 pagi, semua lorong di Persimpangan Shah Alam, ELITE, antara Seafield dengan Setia Alam dilaporkan ditutup.
PROLINTAS GCE pula menerusi hebahan jam 5.42 pagi memaklumkan penutupan sepenuhnya susur Ramp B, Ramp C dan Ramp D di persimpangan NKVE akibat banjir kilat.
Dalam perkembangan berkaitan, satu hantaran Threads oleh @sabrinarzk__ turut mendakwa jalan berhampiran sebuah jambatan selepas kawasan Gajah 16 menghala ke Paya Jaras mengalami kerosakan sehingga tidak dapat dilalui.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai keadaan jambatan dan tahap kerosakan jalan itu belum mendapat pengesahan pihak berkuasa.
Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan petugas di lokasi dan menyemak perkembangan trafik terkini melalui saluran rasmi pengendali lebuh raya sebelum memulakan perjalanan. – BH Online –
IMedikelTV






