Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Pembesaran Hospital Kepala Batas (HKB) yang melibatkan cadangan pembinaan blok hospital bertingkat dengan tambahan 300 katil perlu dipercepatkan bagi menangani tekanan kapasiti yang semakin meningkat susulan pertambahan permintaan perkhidmatan kesihatan di Seberang Perai Utara (SPU).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun projek pembesaran berkenaan sudah diluluskan dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), usaha susulan perlu dilakukan supaya pelaksanaannya dapat disegerakan.
Beliau berkata, cadangan itu kini berada dalam Rolling Plan 1 (RP1) RMK-13 bagi kerja-kerja awal, namun beliau berharap ia dapat diberi keutamaan untuk dilaksanakan dalam Rolling Plan 2 yang bermula pada 2027.

“Sekarang ini fasa kedua adalah kita perlu memberi desakan supaya projek ini dapat dilakukan dan dipercepatkan. Alhamdulillah, Perdana Menteri sudah meluluskan dan memasukkan projek ini dalam RMK-13.
“Tetapi saya mahu ia dipercepatkan kerana tekanan di Hospital Kepala Batas semakin dirasai,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program penyampaian bantuan Deepavali di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir, hari ini.
Dalam program itu, seramai 350 masyarakat India menerima sumbangan wang tunai dan juga barangan keperluan dapur bagi meringankan beban mereka menyambut perayaan Deepavali.
Terdahulu, Reezal Merican yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membangkitkan perkara itu ketika perbahasan Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Dewan Sri Pinang hari ini.
Reezal Merican berkata, HKB ketika ini hanya mempunyai kapasiti 134 katil, sedangkan jumlah penduduk yang mendapatkan perkhidmatan di hospital berkenaan semakin bertambah bukan sahaja dari kawasan Kepala Batas dan Bertam, malah turut melibatkan kawasan sekitar termasuk Tasek Gelugor, Bagan dan Padang Serai, Kedah.

Menurut beliau, nisbah katil kepada penduduk di SPU ketika ini berada pada tahap rendah iaitu sekitar 0.39 katil bagi setiap 1,000 penduduk berbanding penanda aras satu katil bagi setiap 1,000 penduduk.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kadar penggunaan katil di HKB kini mencecah sekitar 92 hingga 93 peratus, sekali gus menunjukkan hospital berkenaan beroperasi hampir pada kapasiti maksimum.
“Kalau pergi ke Hospital Kepala Batas sekarang, hampir tiada katil kosong. Sebab itu kita perlukan tambahan kapasiti.
“Apabila siap nanti, tambahan 300 katil ini akan memberi kelegaan bukan sahaja kepada penduduk Bertam dan Kepala Batas, tetapi seluruh komuniti SPU,” katanya.
Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil kerana kemudahan kesihatan merupakan antara aspek penting dalam memastikan kawasan Bertam dan SPU kekal sebagai kawasan yang mempunyai daya huni tinggi.
“Saya sudah berjumpa dengan Exco yang menjaga portfolio berkaitan dan beliau memberi komitmen untuk membuat susulan dengan pihak kementerian. Biasanya ada mesyuarat antara Exco dan kementerian, jadi perkara ini akan terus diberi penekanan,” katanya.
Beliau menegaskan, pembangunan kemudahan kesihatan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan penduduk dan pembangunan kawasan SPU bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
IMedikel TV






