KYIV: Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dalam serangan Russia ke atas sebuah sekolah yang menjadi pusat pengagihan bantuan kemanusiaan di Ukraine.
Memetik laporan AFP melalui Berita Harian, Tragedi itu sekali gus memusnahkan sebarang harapan untuk melihat perkembangan positif ke arah keamanan yang cuba diusahakan Amerika Syarikat (AS).
Ukraine berkata, Russia kembali melancarkan serangan di wilayah selatan Kherson selepas gencatan senjata di kawasan itu berakhir.
Gencatan senjata itu adalah yang paling lama sejak Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
Gencatan senjata sementara itu diusahakan oleh Wanita Pertama AS, Melania Trump, bagi membolehkan satu misi dijalankan di bandar Oleshky yang kini diduduki Russia.
Ia bermula Selasa lalu dan berakhir Ahad tanpa kedua-dua pihak melaporkan sebarang pelanggaran.
Namun, beberapa jam selepas gencatan senjata tamat, Russia melancarkan beberapa serangan ke atas sebuah kampung di wilayah Zaporizhzhia, bersebelahan Kherson, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang, menurut pemangku gabenor wilayah itu.
Sebahagian mangsa berada di sebuah sekolah tempatan untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan ketika serangan berlaku.
Rakaman video yang dikongsi perkhidmatan kecemasan Ukraine menunjukkan sekolah itu musnah dengan runtuhan bangunan masih berasap, manakala pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata bantuan kemanusiaan diagihkan kepada penduduk di sekolah berkenaan setiap Isnin.
“Russia melancarkan serangan pertama menggunakan beberapa bom udara sebaik penduduk tiba untuk mendapatkan bantuan.
“Serangan kedua kemudian menyusul dengan lebih banyak bom udara yang menyasarkan tempat perlindungan,” katanya dalam ucapan harian.
Pemangku Gabenor wilayah itu, Mykhailo Semikin, berkata dua anggota penyelamat dan empat anggota polis turut terbunuh dalam serangan berkenaan.
Perkhidmatan kecemasan Ukraine mengenal pasti dua anggota penyelamat yang maut sebagai Denys Konovalenko dan Oleksy Sushchevsky, masing-masing berusia 44 tahun.
“Setiap hari, mereka keluar membantu orang ramai, bekerja dalam keadaan berbahaya dan mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan orang lain,” menurut kenyataan perkhidmatan itu.
Zelensky berkata, selepas gencatan senjata di Oleshky, wujud peluang untuk menunjukkan bahawa langkah seterusnya mampu membawa kemajuan ke arah keamanan.
“Namun, menerusi pembunuhan ini, Russia menghantar isyarat yang sama sekali berbeza, iaitu negara itu mahukan lebih banyak pembunuhan. Perkara ini mesti mendapat tindak balas,” katanya. – AFP, BH Online –
IMedikelTV






