LONDON: George Russell mengakui musim 2026 bukan miliknya selepas mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan Mercedes, Kimi Antonelli yang muncul juara dunia Formula Satu (F1) termuda dalam sejarah.
Memetik laporan Reuters melalui Berita Harian, Pemandu Britain itu berkata demikian dengan penuh kejujuran menerusi luahan peribadi di media sosial, awal pagi tadi.
Russell sebelum ini dikecualikan daripada tugasan media selepas Grand Prix (GP) Mexico City, Ahad lalu, dengan ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff menyifatkan pemandunya itu sebagai sangat kecewa dengan apa yang berlaku sepanjang perlumbaan.
Russell yang memulakan perlumbaan dari barisan hadapan melakukan permulaan baik sebelum jentera dipandunya tiba-tiba kehilangan kelajuan sehingga menyebabkan dia tercicir.
Dia akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keenam, dengan Wolff mengakui pasukan mengecewakan pemandu berkenaan.
“Musim ini bermula tepat seperti saya harapkan, tetapi keadaan berubah dengan pantas apabila saya berdepan nasib malang dan prestasi tidak memberangsangkan.
“Ini musim pertama dalam karier saya yang benar-benar menyaksikan lebih banyak hari buruk berbanding hari menggembirakan. Adakah sukar untuk menghadapinya? Ya, sangat sukar. Adakah sukar untuk bangkit setiap minggu? Ya, juga sangat sukar.
“Ada kalanya saya keliru? Kerap kali. Apa yang saya tahu, saya sudah memberikan segala-galanya dan 2026 sememangnya bukan tahun untuk saya,” kata Russell menerusi Instagram.
Russell memulakan musim sebagai pilihan utama bookie untuk menjulang kejuaraan dunia, selain memiliki pengalaman lebih luas dan sudah memenangi perlumbaan berbanding Antonelli yang baru memasuki musim kedua bersama Mercedes.
Sebaliknya, pelumba Itali berusia 20 tahun itu, yang menjadi juara dunia pertama negaranya dalam tempoh 73 tahun, memenangi sembilan perlumbaan berbanding tiga diraih Russell, sekali gus mengesahkan kejuaraan dengan baki empat pusingan.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kimi atas musim yang luar biasa. Anda sememangnya layak bergelar juara.
“Buat masa ini, apa yang boleh saya janjikan ialah saya akan memberikan segala-galanya sepanjang baki musim ini dan musim depan untuk mendapatkan semula prestasi yang pernah saya tunjukkan sepanjang sebahagian besar karier.
“Saya juga berharap sedikit tuah akan kembali menyebelahi saya,” katanya. – Reuters, BH Online –
IMedikelTV






