Home Hiburan SUAMIKU ANAK MAK BUAT SHILA AMZAH ‘NAIK KORTISOL’

SUAMIKU ANAK MAK BUAT SHILA AMZAH ‘NAIK KORTISOL’

KUALA LUMPUR: Belum pun menyaksikan keseluruhan episod, penyanyi Shila Amzah sudah berasa geram dengan konflik dipaparkan dalam drama Suamiku Anak Mak sehingga mengakui tidak sabar untuk mengikuti kesudahan kisah berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, Shila meluahkan rasa tidak keruan selepas melihat beberapa sedutan babak drama yang kini hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

“Tak cukup sabar utk tgk cerita ‘anak mak’ ni. Lalu-lalu snippets kat Threads pun dah boleh buat naik hormon cortisol,” tulisnya.

Kenyataan spontan itu mencuri perhatian apabila menggambarkan betapa kuatnya kesan konflik drama berkenaan terhadap emosi penonton, meskipun hanya menyaksikan potongan babak yang tular di media sosial.

Bukan Shila seorang yang berasa demikian, malah ruangan komen media sosial turut dibanjiri reaksi penonton yang meluahkan rasa geram terhadap gelagat watak Mak Leha, lakonan Dian P. Ramlee, serta Haris yang dibawakan Keith Foo.

Antara komen yang mencuri perhatian termasuklah “Mertua dari neraka”, “Keluarga toksik” dan “Suami lembik”, menggambarkan kekecewaan penonton terhadap konflik rumah tangga yang dipaparkan.

Watak Mak Leha khususnya menjadi sasaran apabila tindakannya mencetuskan ketegangan dalam rumah tangga anaknya, Haris, sekali gus menguji kesabaran Zaraa yang dilakonkan Emma Maembong.

Haris pula tidak terlepas daripada kritikan apabila penonton mempersoalkan pendiriannya dalam mengimbangi tanggungjawab terhadap ibu dengan peranan sebagai suami.

Reaksi berkenaan memperlihatkan keberkesanan konflik drama itu mencetuskan perbincangan penonton, khususnya mengenai hubungan ibu mentua dengan menantu serta tanggungjawab suami selepas mendirikan rumah tangga.

Dibintangi Emma Maembong, Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam, Suamiku Anak Mak kini ditayangkan menerusi slot Megadrama, jam 10 malam di Astro Ria. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here