Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Penjaga gol Pahang Rangers FC, Afiq Abdul Rahman menyifatkan kejayaan meraih Anugerah Penjaga Gol Terbaik Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2026 sebagai rezeki tidak diduga, sekali gus melengkapkan musim terbaik sepanjang lapan tahun bersama skuad Tok Gajah.
Afiq, yang mengakui tidak pernah menjangkakan mampu meraih pengiktirafan itu, berkata musim 2026 menjadi antara cabaran terbesar dalam kariernya apabila diberikan tanggungjawab sepenuhnya mengawal gawang pasukan.
Katanya, tanggungjawab itu dipikul selepas penjaga gol utama sebelum ini, Zainulzahin Sinuan berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut pemain berusia 35 tahun itu, keutamaan sepanjang musim ini adalah memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan, selain memastikan kejayaan pasukan sebagai tanda penghargaan terhadap kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Eloy Alonso Fraile.

“Sebagai penjaga gol saya memberi yang terbaik untuk pasukan setiap kali turun beraksi. Kejayaan pasukan menjadi misi utama bagi membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih.
“Episod menyumbang jaringan pada pertemuan separuh akhir kedua menentang JDT di tempat lawan begitu manis dan tidak mungkin dapat dilupakan. Kemenangan pada perlawanan itu membawa Pahang Rangers ke pentas final MPFL musim ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bagaimanapun, impian Afiq untuk membantu Pahang Rangers menjulang kejuaraan musim ini tidak kesampaian apabila pasukan itu tewas 1-2 kepada Selangor FC menerusi masa tambahan, selepas kekalahan 2-5 pada masa sebenar perlawanan akhir kedua, Sabtu lalu.
Mengulas perjalanan lapan musim bersama Pahang Rangers, pemain kelahiran Kuantan itu berkata, selain kejayaan meraih anugerah individu, pengalaman dilayangkan dua kad merah sepanjang musim ini turut menjadi antara episod yang sukar dilupakan.
Afiq turut memberi jaminan akan terus menabur bakti bersama Pahang Rangers selagi khidmatnya masih diperlukan pasukan pantai timur itu.
Mengulas kekalahan pada aksi final, beliau berkata seluruh pemain sudah berusaha sedaya upaya untuk mencatat kemenangan, namun rezeki tidak berpihak kepada mereka.
“Pemain telah berusaha sedaya upaya untuk mencatat kemenangan ke atas Selangor pada perlawanan akhir MPFL Sabtu lalu, namun rezeki tidak berpihak kepada kami apabila tewas tipis pada masa tambahan.
“Kekecewaan bukan sahaja dirasai pemain tetapi peminat setia Tok Gajah.
“Mungkin rezeki Pahang Rangers menjulang piala kejuaraan berlaku musim depan,” katanya.
IMedikel TV






