Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Syarikat Bumiputera di Johor perlu meningkatkan keupayaan perniagaan masing-masing bagi memastikan mereka tidak ketinggalan menikmati limpahan ekonomi daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu memainkan peranan lebih besar dalam membantu syarikat berkenaan berkembang, termasuk menyediakan bimbingan dan akses kepada peluang perniagaan berskala lebih besar.
Katanya sokongan diberikan tidak seharusnya tertumpu kepada pembiayaan semata-mata, sebaliknya membantu syarikat Bumiputera meningkatkan kapasiti sehingga berupaya menembusi pasaran saham terbuka.

“Dalam kita merencanakan pertumbuhan ini, ianya juga perlu diketengahkan soal manfaat kepada rantaian yang ada dalam negara.
“Jadi pertumbuhan itu bagi saya sementara inisiatif seperti ‘queen bee’ dan sebagainya menarik pelaburan strategik, kita perlu menyusun dan memastikan usahawan-usahawan tempatan termasuk Bumiputera boleh memainkan peranan dalam rantaian bekalan ataupun perkhidmatan yang ada.
“Jadi sebab itu potensi di Johor ni baik, luas dan juga di peringkat kita juga, kita meletakkan harapan kepada TERAJU untuk menggiatkan lagi usaha sokongan kepada syarikat-syarikat Bumiputera kita di Johor.
“Ini tidak termasuk hanya kepada soal pendanaan, tetapi juga soal bimbingan, soal untuk membuka jalan mereka menskalakan potensi perniagaan mereka dengan sasaran ke arah keupayaan untuk pasaran saham terbuka,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Teraju Aspirasi Business Symposium 2026 di DoubleTree Hotel, di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan JS-SEZ, Akmal memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan pertama Mesyuarat Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) di Singapura pada semalam.
Katanya dalam pertemuan itu Malaysia dan Singapura bersetuju memperkukuh kerjasama bagi mengoptimumkan potensi zon ekonomi berkenaan.
“Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut membincangkan perancangan bagi tahun depan dalam usaha memperluas potensi strategik JS-SEZ.
“Pelan induk JS-SEZ dijadual dilancarkan pada Pemukiman Pemimpin (Leaders’ Retreat), selain beberapa perkara berkaitan pembangunan zon berkenaan turut diketengahkan menerusi Belanjawan 2025.
“Antara projek berpotensi ialah pembangunan kawasan perindustrian Nexus Sedenak yang dijangka mampu menarik pelaburan RM12 bilion serta menyediakan peluang pekerjaan,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal berkata ekonomi Johor mencatatkan pertumbuhan lapan peratus tahun lalu, berbanding sekitar empat hingga 4.7 peratus sebelum ini, sekali gus mengatasi purata pertumbuhan ekonomi nasional.
IMedikel TV






