Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kampung Merapoh, Lipis membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan sebagai johan Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2026, di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, kelmarin.
Kejayaan itu melayakkan kampung berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam aspek pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial, kemudahan fizikal, pemeliharaan warisan serta semangat komuniti.
Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim.
Kecemerlangan Kampung Merapoh turut diserlahkan menerusi kejayaan Muhammad Fazren Mahdzir yang menerima Anugerah Khas Smart Farming, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Menurut Mohd Hafizi, kejayaan itu membuktikan komitmen serta kerjasama erat masyarakat setempat dalam memacu pembangunan kampung yang mampan, inovatif dan berdaya saing.
Katanya, pencapaian berkenaan bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk Kampung Merapoh dan daerah Lipis, malah turut menjadi inspirasi kepada komuniti lain untuk terus memperkasakan pembangunan desa demi kesejahteraan penduduk.
“Saya berharap kejayaan yang diraih dapat meningkatkan lagi semangat penduduk untuk terus berusaha meningkatkan pembangunan desa tempat mereka tinggal.
“Pelbagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa terdapat di Kampung Merapoh yang berupaya melonjakkan nama Lipis dan Pahang di peta dunia,” katanya.
IMedikel TV






