Home Buletin Semasa KEPUTUSAN RAYUAN AKHIR DA’I SYED DIKETAHUI HARI INI

KEPUTUSAN RAYUAN AKHIR DA’I SYED DIKETAHUI HARI INI

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, akan membuat keputusan bagi rayuan akhir pendakwah selebriti, Da’i Syed, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol.

Memetik laporan Berita Harian, Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, dijadualkan bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid bagi mendengar rayuan akhir Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31.

Syed Shah Iqmal yang memakai jubah berwarna putih dan ditemani isterinya, Hana Ismail, tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi ini.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, sekitar jam 1.35 pagi 11 September 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 30 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Sesyen, Adlin Abdul Majid, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan dengan Syed Shah Iqmal diperintahkan ke penjara pada hari sama.

Selepas 21 hari di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here