Home Luar Negara SYARIKAT CHINA LATIH TEKSI ROBOTIK ALAMI PEMANDUAN SEBENAR

SYARIKAT CHINA LATIH TEKSI ROBOTIK ALAMI PEMANDUAN SEBENAR

Beijing: Syarikat teknologi China, Baidu melancarkan sistem kecerdasan buatan (AI) baharu dikenali sebagai Apollo World bagi melatih teksi robotik menggunakan simulasi persekitaran dunia sebenar.

Memetik laporan Harian Metro, Sistem yang dilancarkan pada 3 November itu direka untuk mensimulasikan persekitaran pemanduan serta meramalkan perubahan yang berlaku bagi membantu pengeluar kenderaan mengurangkan kos pembangunan kenderaan.

Baidu berkata, Apollo World mampu menjana sehingga 100,000 kilometer (km) pemanduan simulasi sehari, bersamaan kira-kira tiga tahun ujian dunia sebenar menggunakan kenderaan autonomi yang dilengkapi pemandu keselamatan.

Difahamkan, sistem itu turut berupaya menghasilkan data multimodal masa nyata seperti pemerhatian kamera dan pengesanan serta pemetaan cahaya (lidar), membolehkan sistem pemanduan kendiri mengesan dan menavigasi persekitaran simulasi secara langsung.

Apollo Go milik Baidu adalah pengendali perkhidmatan teksi robotik terbesar di China dan bersaing dengan syarikat lain termasuk WeRide, Pony.ai serta Momenta Global.

Sementara itu, rakan kongsi Volkswagen di China, XPeng turut merancang melancarkan operasi teksi robotik pada 2027, manakala Morgan Stanley menganggarkan armada teksi robotik China boleh berkembang kepada satu juta kenderaan menjelang 2035.

Bagaimanapun, pembangunan teknologi berkenaan masih menelan kos tinggi walaupun kebanyakan syarikat teksi robotik China menggunakan strategi pengembangan yang memerlukan pemilikan aset minimum melalui kerjasama dengan pengeluar kenderaan, platform e-hailing dan pengendali armada tempatan di luar negara.

Pakar mobiliti autonomi dan pengangkutan bandar di firma perunding pengurusan, Arthur D Little, Frank McCleary berkata, syarikat terbabit masih perlu menanggung perbelanjaan modal bagi melatih model dan menyediakan kenderaan.

Beliau berkata, kelajuan pelancaran perkhidmatan bergantung kepada keupayaan teknologi untuk menyesuaikan diri, memahami serta mempelajari cara pemanduan dalam persekitaran berkenaan.

“Kecerdasan buatan membantu mempercepatkan kemajuan dalam bidang pemanduan autonomi,” katanya.  

Bagi Tesla pula, ia berusaha memperluas armada teksi robotik Cybercab menggunakan rangkaian neural hujung ke hujung yang dilatih menerusi rakaman video pemanduan manusia bagi membangunkan teknologi pemanduan kendirinya. – HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here