Home Buletin Semasa DUA MAUT, SEORANG CEDERA DALAM KEMALANGAN BERASINGAN DI PULAU PINANG

DUA MAUT, SEORANG CEDERA DALAM KEMALANGAN BERASINGAN DI PULAU PINANG

PENANG: Dua lelaki maut, manakala seorang wanita cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku di Bayan Lepas dan Tanjung Tokong, Pulau Pinang dalam tempoh kurang lapan jam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata kejadian pertama dilaporkan pada jam 11.38 malam tadi di hadapan sebuah pasaraya di Bandar Bayan Baru, Bayan Lepas.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah bas pengangkutan awam dan sebuah motosikal jenis Modenas.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru di lokasi pada jam 11.43 malam, didapati terdapat dua mangsa, iaitu seorang wanita tersepit di bahagian hadapan bas, manakala seorang lelaki berada di bawah bahagian hadapan bas dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Komander Operasi melakukan ‘size up’ sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja menyelamat. Mangsa wanita berjaya dikeluarkan pada jam 11.55 malam sebelum diberikan rawatan awal oleh ambulans komuniti Sungai Ara dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, mangsa lelaki pula berjaya dikeluarkan pada jam 12.30 tengah malam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Goy Wee Sherng, 29 dan mangsa wanita yang cedera ialah Amelia Moey May Lyn, 23 manakala pemandu bas lelaki dilaporkan selamat.

John Sagun berkata, operasi membabitkan lapan anggota termasuk penyelia itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.42 tengah malam.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri di Straits Quay, Tanjung Tokong, pagi tadi.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 6.35 pagi sebelum sebuah jentera dari BBP Bagan Jermal tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios  yang terbabas sendiri.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di ruangan pemandu dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Komander Operasi melakukan ‘size up’ sebelum mengarahkan PKO menjalankan kerja-kerja menyelamat,” katanya.

Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6.55 pagi sebelum diberikan rawatan awal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa yang identitinya belum dikenal pasti diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum menamatkan operasi berkenaan pada jam 6.59 pagi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here