Tehran: Iran mempamerkan papan iklan gergasi dan sepanduk di seluruh Tehran pada 3 November, semalam, yang mengugut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Kami akan membunuh Trump”, tertera pada papan iklan di kawasan sibuk Dataran Enghelab yang memaparkan Trump berada di sebalik jeriji penjara dengan kepala tertunduk.
Memetik laporan AFP melalui Harian Metro, Satu lagi papan iklan berhampiran menunjukkan Trump bersama Naib Presiden AS, JD Vance, utusan khas, Steve Witkoff dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan wajah berlumuran darah serta pakaian koyak, berlatarbelakangkan bendera Israel dan AS yang lusuh.
Puluhan orang turut berkumpul di dataran berkenaan sambil mengibarkan bendera merah dan membawa sepanduk tertera tulisan ‘Darah akan tumpah’, selain menuntut pembalasan atas kematian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari lalu.
Reka bentuk papan iklan dan paparan baharu yang mempersendakan Trump serta mengancam untuk membalas dendam terhadapnya, selain mendakwa kemenangan ke atas AS dalam perang itu, sering dipasang di sekitar Tehran.
Sementara itu, sebuah pameran terbuka di Dataran Tajrish di utara Tehran turut memaparkan lukisan Trump, termasuk imej wajahnya berlumuran darah ketika terbaring di tanah dengan kaki seseorang memijak kepalanya.
Satu lagi lukisan memaparkan wajah Trump yang terlindung di sebalik sebutir bom, manakala replika sel penjara bersaiz sebenar turut dipamerkan dengan seorang pelakon menyamar sebagai Trump menghabiskan sepanjang hari di dalamnya.
Skrin berhampiran pula memaparkan, imej kemusnahan akibat serangan AS ke atas Iran.
Tehran menuduh Trump sengaja menyasarkan lokasi awam ketika perang, termasuk sebuah sekolah dan majlis perkahwinan, sehingga mengorbankan puluhan orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Papan iklan dan mural tajaan kerajaan menjadi sebahagian daripada pemandangan ruang awam Iran sejak Revolusi Islam 1979, digunakan untuk menghormati sekutu, meraikan tokoh ketenteraan serta menyampaikan mesej politik kepada pihak yang dianggap musuh, khususnya AS dan Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha diplomatik baharu sedang dijalankan bagi membawa Tehran dan Washington ke meja rundingan untuk mengelakkan pertempuran kembali tercetus, susulan konflik yang merebak ke seluruh rantau berkenaan dan menyebabkan kenaikan harga di seluruh dunia.
Trump yang berdepan pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November ketika pengundi tidak berpuas hati, sebahagiannya disebabkan perang Iran berkata, satu perjanjian ‘mungkin dapat dicapai’.-AFP, HMetro Online-
IMedikelTV






