Home Buletin Semasa GERAN PENYELIDIKAN INISIATIF DALAM MEMPERKASAKAN PENYELIDIKAN, PERKONGSIAN ILMU

GERAN PENYELIDIKAN INISIATIF DALAM MEMPERKASAKAN PENYELIDIKAN, PERKONGSIAN ILMU

KUANTAN: Penganjuran Seminar Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Lubuk Yu menjadi platform penting dalam memperkasa penyelidikan, memperluas perkongsian ilmu serta meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan pemeliharaan khazanah alam semula jadi di Pahang.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah, berkata kerajaan Pahang sentiasa komited memastikan pengurusan sumber hutan dan biodiversiti dilaksanakan secara mampan berlandaskan penemuan saintifik, data penyelidikan serta kepakaran pelbagai bidang.

Menurutnya, hutan bukan sahaja berperanan sebagai habitat flora dan fauna, malah mempunyai nilai ekologi, pendidikan, sosial dan ekonomi yang amat signifikan.

Beliau berharap segala dapatan penyelidikan yang dihasilkan menerusi seminar itu dapat diterjemahkan kepada cadangan tindakan praktikal bagi memperkukuh pengurusan kawasan perlindungan serta meningkatkan keberkesanan usaha pemuliharaan dan pembangunan potensi ekopelancongan secara bertanggungjawab.

“Kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, institusi penyelidikan dan pihak berkepentingan juga perlu terus diperkasakan demi memastikan kelestarian khazanah alam negeri untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengarah Bahagian Ladang Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Samsu Anuar Nawi, pada Majlis Perasmian Seminar Geran Penyelidikan dan Pendidikan Perhutanan Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Lubuk Yu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Harry Yong.

Program selama dua hari itu disertai lebih 150 peserta terdiri daripada penyelidik dan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Mohd Radhi berkata, seminar berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada kesinambungan penyelidikan, percambahan idea serta jalinan kerjasama lebih erat dalam usaha memartabatkan bidang perhutanan dan pemuliharaan biodiversiti di Pahang.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang atas inisiatif menganjurkan seminar berkenaan yang disifatkan sebagai usaha penting dalam memperkukuh bidang penyelidikan perhutanan.

Katanya, usaha menyediakan geran bagi tujuan penyelidikan itu juga wajar dijadikan contoh oleh jabatan perhutanan negeri lain untuk turut melaksanakan inisiatif sama.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here