Home Sukan CUNHA WIRA KEBANGKITAN DRAMATIK UNITED

CUNHA WIRA KEBANGKITAN DRAMATIK UNITED

MANCHESTER: Manchester United memberi talian hayat kepada pengendalinya, Michael Carrick apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Roma 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi tadi.

Memetik laporan Afp melalui Berita Harian, Kemenangan dramatik itu menamatkan kemarau sembilan perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan, sekali gus meredakan tekanan terhadap Carrick yang semakin terdesak menyelamatkan kedudukannya.

Bagaimanapun, penyokong tuan rumah seakan hilang sabar apabila Roma terlebih dahulu mendahului 2-0 dalam tempoh 20 minit menerusi jaringan Matias Soule dan Donyell Malen.

United yang tampil tidak bermaya pada babak pertama jelas bergelut untuk mengimbangi permainan pelawat, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keputusan pengurusan kelab untuk terus memberi kepercayaan kepada Carrick.

Soule membuka jaringan pada minit ke-11 apabila diberikan ruang terlalu luas untuk mengawal hantaran Rodrigo Mora sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Senne Lammens.

Kedudukan bertambah buruk apabila percubaan Soule terkena tangan Ayden Heaven di dalam kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Roma yang disempurnakan Malen.

Ketika United masih bergelut mencari rentak, perlawanan terpaksa dihentikan seketika selepas penyokong membaling bola tenis ke dalam padang sambil melaungkan desakan supaya pemilik kelab, keluarga Glazer menjual pegangan mereka.

Cabaran tuan rumah bertambah sukar apabila pemain tengah, Carlos Baleba yang dibeli dengan harga 70 juta pound (RM382.95 juta) mengalami kecederaan hamstring sejurus babak kedua bermula.

Namun, United memperoleh peluang untuk kembali dalam permainan apabila Matheus Cunha meraih sepakan penalti pada minit ke-58 susulan sentuhan minimum Gianluca Mancini.

Sepakan pertama Bruno Fernandes berjaya diselamatkan penjaga gol ketiga Roma, Devis Vasquez, namun pengadil mengarahkan sepakan diulang selepas pemain pelawat didapati menceroboh kawasan penalti.

Fernandes tidak mensia-siakan peluang kedua untuk merapatkan kedudukan, sekali gus menyuntik semangat baharu kepada tuan rumah.

United kemudian hampir menyamakan kedudukan apabila rembatan Bryan Mbeumo terkena kedua-dua tiang gol sebelum kapten Roma, Bryan Cristante menyelamatkan keadaan dengan mengeluarkan bola di atas garisan.

Kebangkitan United akhirnya membuahkan hasil tujuh minit sebelum tamat apabila Leonardo Balerdi gagal menyepak bola dengan sempurna di dalam kotak penalti, membolehkan Cunha mudah menolak masuk gol penyamaan.

Tiga minit kemudian, penyerang Brazil itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila melepaskan rembatan kencang melepasi Vasquez untuk meletakkan United di hadapan 3-2.

Bagaimanapun, Cunha dilayangkan kad kuning kedua akibat terjahan berbahaya pada masa kecederaan.

United terpaksa bertahan dengan 10 pemain sehingga wisel penamat untuk memastikan kemenangan yang menghidupkan kembali kempen Liga Juara-Juara mereka selepas tewas dalam dua aksi terdahulu kepada Atletico Madrid dan Como.

Namun, sama ada kejayaan itu menjadi titik perubahan buat United atau sekadar memanjangkan tempoh Carrick di kerusi panas masih menjadi persoalan. – AFP, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here