TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud melanda tengah Jepun pada awal pagi ini menyebabkan sekurang-kurang 20 orang cedera di wilayah Aichi, lapor Kyodo News yang memetik pihak berkuasa.
Memetik laporan Bernama melalui Berita Harian, Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan gempa bumi pada jam 1.04 pagi itu berpusat di barat Wilayah Shizuoka pada kedalaman kira-kira 40 kilometer (km) dan mencatat bacaan 5.0 pada skala intensiti seismik Jepun di Chita, wilayah Aichi.
Kerajaan menubuhkan sebuah pejabat perhubungan bagi menyelaraskan tindak balas terhadap gempa bumi itu.
Menurut agensi berkenaan, gempa bumi itu bagaimanapun tidak menimbulkan risiko tsunami.
Gegaran dilaporkan turut dirasai di beberapa wilayah berhampiran termasuk Gifu, Nagano dan Yamanashi.
Di wilayah Aichi, pihak bomba melaporkan dua individu di Bandar Toyota dipercayai cedera akibat gegaran itu.
Pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya terus berwaspada terhadap aktiviti seismik susulan, sambil memberi amaran bahawa gempa susulan mungkin berlaku dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen antara Tokyo dengan Iwate terganggu, namun pengendali kemudian memaklumkan perkhidmatan telah disambung semula.
Jepun terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan yang sering mengalami aktiviti gempa bumi dan gunung berapi. – Bernama, BH Online –
IMedikelTV






