Kuala Lumpur: Pelakon, Elfira Loy menyifatkan pemergian ibu tercinta, Filzah Yusoff, 61, sebagai satu kehilangan yang besar dalam hidupnya.
Memetik laporan Harian Metro, Menerusi hantarannya di Instagram, Elfira menyifatkan arwah ibunya bukan sekadar seorang ibu, malah tempatnya untuk bergantung harapan dalam segala perkara termasuk dalam kerjaya seninya.
“Tak tahu cakap macam mana, Ma. Kakak bukan sahaja kehilangan seorang ibu, kakak kehilangan teman baik, seorang yang mengurus kerja kakak, ‘stylist’ kakak, penasihat kakak, penjaga kakak dan yang paling penting, satu-satunya orang yang faham kakak.
“Satu-satunya, Mama… siapa lagi yang boleh faham kakak yang suka pendam dan tak bercakap ni selain Mama?” luahnya.
Bagaimanapun, Elfira atau nama sebenar, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya Allah lebih menyayangi arwah ibunya.
Malah, pelakon drama Qalesya itu turut berkongsi hikmah di sebalik pemergian ibunya apabila Allah memberikan ruang kepada ahli keluarga untuk membiasakan diri melawat arwah ibunya di hospital setiap hari.
“Allah memang sayang Mama. Allah tahu Mama sayang kita orang dan nak kita orang senang, Allah tak tarik nyawa Mama terus.
“Allah kasi kita orang ‘practice’ hari-hari melawat Mama dekat hospital tanpa boleh berborak dengan Mama, hanya berbekalkan bacaan Yasin menjadi perbualan kita.
“And now, is that it, Ma? Is that going to be our conversation forever? Hmmm…” tulisnya.
Dalam pada itu, Elfira turut meluahkan rasa syukur kerana arwah ibunya yang dikelilingi dengan kasih sayang, doa serta diziarahi oleh ramai pihak.
Kehilangan ibunya membolehkan Elfira meneruskan kehidupan dengan segala didikan, nilai cinta serta pegangan agama yang ditinggalkan oleh wanita disayanginya.
“Kakak percaya, tiada pengakhiran yang lebih baik daripada ini. Mama pergi dengan cinta. Mama pergi dalam doa. Mama pergi setelah ramai datang menziarahi. ‘You are loved, Ma. You always have been. You always will be.’
“Kakak akan terus hidup dengan cinta yang Mama ajarkan, dengan doa yang Mama tinggalkan dan dengan Allah yang Mama cintai sepenuh hati. ‘I love you, Ma’,” tulisnya lagi.
Menjengah ke dalam ruangan komen, rata-rata rakan artis dan netizen mendoakan agar Elfira sekeluarga sentiasa diberikan kekuatan.
Semalam, Elfira berkongsi khabar duka menerusi hantarannya di Instagram apabila ibunya meninggal dunia.
Pada 6 Ogos lalu, Elfira memaklumkan ibunya dijadualkan menjalani satu prosedur perubatan berisiko tinggi.
Bagaimanapun, Elfira tidak mendedahkan secara terperinci mengenai tahap kesihatan ibunya, sebaliknya memohon orang ramai mendoakan agar prosedur itu berjalan lancar.-HMetro Online-
IMedikel TV






