Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad, 41, mendedahkan dia mungkir janji pada diri sendiri apabila gagal muncul pada pementasan teater untuk sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Memetik laporan Harian Metro, Sherry atau nama sebenar, Sharifah Mariam Syed Abdullah Al-Hadad berkata, jadual kerja seninya yang padat dan sibuk membuatkan dia tidak dapat mengotakan janji disasarkan.
“Saya pernah sasar untuk berlakon teater dalam setahun, sekurang-kurangnya kena ada satu. Tetapi, saya sudah mungkir janji itu. Saya tidak buat teater lama, dan kali terakhir pada 2018.
“Sebab, saya berlakon untuk TV dan juga ‘hosting’ (pengacaraan). Cuma, kali ini bila Datin Marlia Musa kata beliau nak buat teater muzikal, dan nak saya berlakon. Saya macam terasa, ‘eh, lamanya’.
“Saya menang gementar bila buat teater semula. Tetapi dengan apa yang kita sudah berlatih, saya percaya hasilnya dan berasa terharu dengan reaksi sambutan daripada penonton,” katanya.
Sherry kini terbabit dalam pementasan Teater Muzikal Mansur dan Liu arahan Datuk M Nasir di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) yang berlangsung dari 10 hingga 20 September ini.
Membawa watak Fang iaitu inang kepada Puteri Liu, wanita asal Sarawak ini berkata setiap kali dia berlakon teater matlamat utama adalah membuat penonton terhibur menyaksikan persembahan itu.
“Setiap kali berada di pentas teater, saya punya niat adalah untuk menghiburkan, memberi pengajaran ataupun moral dalam cerita. Tidak lebih daripada itu. Tak ada pun macam saya terlupa niat saya.
“Saya sentiasa akan beringat kenapa saya berada di pentas teater iaitu ‘cinta pertama’ saya dalam bidang seni,” katanya mengakui perasaan sangat berdebar-debar.
Kata Sherry lagi, perasaan berdebar itu sebenarnya bagus dan memang perlu ada sebab ia akan diganti menjadi ‘energy’ yang positif.
“Apa pun, dalam pementasan teater ini semua pelakon akan saling membantu memberikan kata-kata dan sokongan moral di antara satu sama lain agar tiada yang ‘down’.
“Itulah yang ‘best’ dalam teater. Percaya juga nanti, pelakon yang baharu pertama kali main teater seperti Aliff, Melinda dan Arena akan rindu dengan momen-momen indah ini,” katanya.
Selain Sherry, pelakon teater Mansur dan Liu ialah Aliff Aziz, Melinda Dadew, Arena Wan, Amerul Affendi, Brian Chan, Hazama, Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Fadhli Masoot, Fiza Thomas dan ramai lagi.-HMetro Online-
IMedikel TV






