Oleh: Nur Athirah Azman@Imedikel TV
PASIR PUTEH: Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Axia dan motosikal Yamaha Y16ZR di Jalan Jerus – Kok Lanas di Kampung Baru Pupoh, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.45 malam itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati, ketika pemandu kereta berusia 34 tahun memandu dari arah Jerus menghala ke Kok Lanas, apabila sampai di lokasi kemalangan, penunggang motosikal keluar simpang sebelah kiri jalan dan memasuki ke laluan pemandu kereta.
“Oleh sebab jarak terlalu dekat, pemandu kereta cuba mengelak dan brek, tetapi berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.
IMedikel TV






