Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Cubaan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memasuki negara ini melalui tebing sungai Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu, Selasa lalu gagal apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Kamal Mohamad berkata, semua PATI terbabit dipercayai masuk ke Malaysia untuk bekerja secara haram dalam sektor dobi dan cuci kereta.

“Mereka terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita warga India serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh berusia antara 17 hingga 38 tahun, termasuk beberapa pasangan suami isteri.
“Tangkapan ini juga merupakan yang pertama membabitkan warga Bangladesh dan India,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mereka dipercayai menggunakan khidmat ejen dengan bayaran antara RM5,000 hingga RM12,000 untuk memasuki negara ini.
“Siasatan awal mendapati mereka memiliki pasport, namun gagal mengemukakan sebarang rekod perjalanan yang sah.
“Mereka dipercayai memulakan perjalanan pada 29 April lalu daripada India dan kita dapati ada antara mereka sudah beberapa kali masuk ke Malaysia dan sudah fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dilakukan hasil risikan sekitar jam 1.51 pagi ketika pasukan menjalankan rondaan Op Naga, Op Damai, Op Pelantar dan Op Tiris sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan memasuki sungai Kampung Kedai Buloh.
Katanya, bot terbabit berjaya ditahan kira-kira jam 2.13 pagi selepas pasukan operasi darat melakukan pencarian di kawasan berkenaan.
“Semua PATI itu juga dipercayai mempunyai destinasi lain termasuk Johor Bharu, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
IMedikel TV






