LONDON: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mahu anak buahnya menjadikan kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara sebagai pembakar semangat untuk mencipta sejarah musim ini.
Kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid pada aksi separuh akhir kedua di Emirates Stadium awal pagi semalam memastikan Arsenal mara ke final dengan agregat 2-1.
Gol tunggal Bukayo Saka pada babak pertama turut membawa Arsenal kembali ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2006, ketika tewas kepada Barcelona.
Kini, kelab London Utara itu hanya memerlukan empat lagi kemenangan untuk melengkapkan musim penuh gemilang.
Tiga kemenangan dalam baki aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United, Burnley dan Crystal Palace akan menghadiahkan Arsenal gelaran liga pertama sejak 2004.
Selepas itu, Arsenal bakal ke Budapest untuk berdepan Paris Saint-Germain dalam final Liga Juara-Juara pada 30 Mei ini.
“Semua orang dapat merasakan perubahan dari segi tenaga dan keyakinan.
“Kita perlu gunakan ia dengan cara yang betul kerana apa yang cuba kami capai ini sangat sukar, tetapi kami percaya kami mampu melakukannya,” kata Arteta.
Suasana di Emirates Stadium jelas luar biasa apabila ribuan penyokong Arsenal berkumpul di luar stadium menyambut ketibaan bas pasukan dengan suar merah dan sorakan gemuruh sebelum perlawanan bermula.
Arteta turut diraikan pemain dan lebih 60,000 penyokong selepas tamat perlawanan dalam suasana penuh emosi.
“Ia malam yang luar biasa. Kami sekali lagi mencipta sejarah bersama dan saya sangat bangga dengan semua orang dalam kelab ini.
“Penyokong bersama kami untuk setiap bola dan mereka menjadikan malam ini sangat istimewa,” katanya.
Arsenal kini memburu musim terbaik dalam sejarah 140 tahun kelab itu sekiranya berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara dalam musim sama.
Arteta mengakui pencapaian itu sukar dibayangkan ketika dia mula mengambil alih pasukan pada 2019.
“Kami membinanya sedikit demi sedikit. Kami percaya dengan apa yang mahu dilakukan dan sekarang kami perlu terus mengekalkannya,” katanya. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






