Home Buletin Semasa KARNIVAL RAKYAT KELANTAN 2026 PERKUKUH UKHUWAH, SEMARAK SENI ISLAM

KARNIVAL RAKYAT KELANTAN 2026 PERKUKUH UKHUWAH, SEMARAK SENI ISLAM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Karnival Rakyat Kelantan 2026 bukan sekadar menjadi medan pertemuan masyarakat, malah berperanan memperkukuh ukhuwah dan menyemarakkan semangat kebersamaan menerusi pelbagai pengisian bermanfaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata penganjuran karnival selama tiga hari itu mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan daripada rakyat Kelantan.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di laman rasmi beliau pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Rakyat Kelantan 2026 dan Konsert Kesenian Islam di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Wan Roslan yang juga Timbalan Pengerusi Karnival Rakyat Kelantan 2026 berkata, beliau mewakili Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, pada majlis berkenaan.

“Kehadiran masyarakat daripada pelbagai lapisan usia sepanjang penganjuran karnival itu turut menyerikan keseluruhan program.

“Penganjuran karnival ini bukan sekadar medan pertemuan rakyat, bahkan menjadi ruang untuk memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan semangat kebersamaan serta mendekatkan masyarakat dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, pempamer, agensi kerajaan, petugas, sukarelawan dan semua pihak yang memberikan komitmen bagi menjayakan karnival berkenaan.

Wan Roslan berharap segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan Allah SWT dan terus memberikan manfaat kepada seluruh rakyat, selaras dengan aspirasi Membangun Bersama Islam.

Majlis penutup itu turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal tanah air, The Rayhan dan UNIC, serta penasyid tempatan, Hazwan Rahman, yang menyampaikan mesej dakwah dan penghayatan nilai Islam menerusi seni hiburan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here