Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
RAUB: Sebanyak 156.6 kilogram (kg) tiga spesies ikan asing berjaya ditangkap pada Program Mitigasi Ikan Asing di Empangan Klau, di sini, semalam.
Tiga spesies ikan berkenaan ditangkap menggunakan jaring dan jala termasuk memancing ialah Peacock Bass, Tilapia Zebra serta Lampam Jawa.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata program mitigasi yang diadakan antara usaha pengurusan perikanan darat untuk mengawal populasi ikan asing dan mengurangkan risiko gangguan terhadap spesies ikan tempatan.
Katanya, selain aktiviti tangkapan, penyelidikan menggunakan kaedah DNA persekitaran turut dilaksanakan bagi membantu mengesan kemungkinan kehadiran ikan piranha di Empangan Klau.
Menurutnya, kaedah yang digunakan ini membolehkan sampel air dianalisis bagi mengesan bahan genetik yang mungkin ditinggalkan oleh organisma akuatik.
“Kita gagal mengesan ikan piranha yang dikatakan menghuni Empangan Klau, namun pemantauan dan penilaian saintifik akan diteruskan bagi mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies berkenaan.
“Keputusan akhir penyelidikan akan ditentukan selepas proses analisis dan penilaian saintifik selesai, kesimpulan mengenai status kehadiran piranha di Empangan Klau mengambil kira hasil analisis tersebut bersama maklumat pemantauan dan bukti lapangan yang berkaitan,” katanya pada program berkenaan.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan.

Program yang dianjurkan di empangan berkeluasan kira-kira 25 kilometer persegi itu melibatkan 150 peserta, terdiri daripada 100 pemancing, 32 peserta menjala dan 18 peserta menjaring.
Pada program itu kira-kira 43 kilogram ikan tempatan seperti toman, lampam sungai, patung dan sia turut berjaya ditangkap.
Program berkenaan diadakan bertujuan mengurangkan populasi ikan asing, menilai komposisi ikan di perairan empangan serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman spesies asing terhadap biodiversiti dan keseimbangan ekosistem akuatik.
Adnan menambah, walaupun gagal menemui piranha pada program kali ini namun tidak spesies itu telah tiada di empangan berkenaan, susulan laporan terdahulu mengenai penemuan piranha yang telah disahkan di kawasan itu.
Katanya, jabatan mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan ikan peliharaan atau spesies bukan tempatan ke perairan semula jadi. Sebarang penemuan ikan yang disyaki spesies asing hendaklah dilaporkan kepada Pejabat Perikanan berhampiran untuk tindakan dan pengesahan lanjut.
Jabatan Perikanan Malaysia akan meneruskan pemantauan serta kerjasama dengan pihak berkaitan bagi mengurus risiko ikan asing, melindungi spesies tempatan dan memelihara keseimbangan ekosistem akuatik negara.
IMedikel TV






