Home Sukan ROMA KECEWAKAN NAPOLI, COMO MAKIN GARANG

ROMA KECEWAKAN NAPOLI, COMO MAKIN GARANG

NAPLES: Pemain tengah Napoli, Frank Anguissa menjaringkan gol akrobatik menakjubkan, namun AS Roma bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk keputusan 3-3 dalam aksi Serie A yang mendebarkan di Naples, awal pagi tadi.

Sementara itu, Como meneruskan prestasi cemerlang apabila menewaskan Sassuolo 2-0 di laman sendiri.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Roma berpeluang menduduki puncak liga jika menang, namun selepas ketinggalan 2-0 sebelum sekali lagi berada di belakang 3-2 pada penghujung perlawanan, mereka pastinya berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan itu turut memanjangkan rekod tanpa kalah Roma dalam Serie A kepada 15 perlawanan, sejak April lalu.

Roma kini di tangga ketiga dengan 18 mata daripada lapan perlawanan, satu mata di belakang pendahulu bersama, Inter Milan dan Lazio, yang masing-masing beraksi kurang satu perlawanan. 

Napoli pastinya kecewa kerana gagal mengawal permainan dengan lebih baik selepas sepakan gunting Anguissa memberikan mereka kelebihan sebelum Scott McTominay menambah jaringan.

Ketika Napoli kelihatan selesa menguasai perlawanan, dua gol dalam tempoh empat minit menerusi Matias Soule dan Leonardo Balerdi membolehkan Roma menyamakan kedudukan.

Jaringan kedua McTominay pada penghujung perlawanan mengembalikan momentum kepada Napoli, namun Balerdi menanduk gol penyamaan Roma seminit sebelum tamat permainan.

Dua gol pada babak kedua oleh Anastasios Douvikas pula membantu Como menewaskan Sassuolo, sekali gus meneruskan prestasi cemerlang penyerang Greece itu.

Douvikas sudah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan terakhirnya dalam semua kejohanan.

Dia meledak dua gol menerusi penyudah klinikal di dalam kotak penalti ketika Como melonjak ke tangga keempat dengan 17 mata daripada lapan perlawanan. Sassuolo pula berada di tangga ke-14.

“Dia (Douvikas) sedang berkembang dengan cara yang boleh menjadikannya penyerang tengah yang sangat penting.

“Dalam tempoh tiga tahun terakhir, dia antara pemain yang kami tandatangani dan memberikan kepuasan besar kepada kami,” kata pengendali Como, Cesc Fabregas.

Bologna turut mencatat kemenangan 2-0 ketika bertandang ke Cagliari, sekali gus meraih kemenangan kedua mereka musim ini.

Pertahanan, Nicolo Casale, menjaringkan gol pertamanya dalam tempoh hampir empat tahun untuk meletakkan Bologna di hadapan sebelum Federico Bernardeschi menggandakan kelebihan pelawat.

“Ia perlawanan yang sangat sukar di gelanggang yang mencabar.

“Perlawanan seperti ini dimenangi menerusi karakter. Cagliari menyukarkan kami, tetapi kami memberikan reaksi yang baik pada babak kedua,” kata Bernardeschi. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here