Home Sukan SELANGOR HORMAT PAHANG RANGERS DI PENTAS AKHIR MPFL

SELANGOR HORMAT PAHANG RANGERS DI PENTAS AKHIR MPFL

KUANTAN: Jurulatih Selangor FC, Edgar Eder Baldasso tidak pernah memandang ringan pertemuan dengan Pahang Rangers FC di pentas akhir pertama Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup SUKPA, di sini malam ini.

Menurutnya, lawan (Pahang Rangers) memiliki barisan pemain tempatan dan import yang berkualiti, kebolehan mereka mampu memusnahkan impian Selangor mengekalkan kejuaraan yang dilakar musim lalu.

Katanya, rekod dua pertemuan musim ini yang berpihak pada Selangor tidak boleh dijadikan ukuran kerana perlawanan di pentas final berbeza, semangat dan kesungguhan pemain pastinya bertambah berkali ganda.

Bagaimanapun, dia penuh yakin dengan kemampuan yang dimiliki barisan anak buahnya dalam misi untuk menjulang kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

“Aksi final kali ini merupakan perlawanan yang cukup besar ertinya buat kedua-dua pasukan selepas mengharungi kempen musim ini yang cukup mencabar. Kali ini kami terpaksa melalui pertemuan final secara timbal balik.

“Kemenangan pada perlawanan pertama malam ini tidak bermakna kami juara, aksi final kedua di gelanggang sendiri pada 31 Oktober menjadi penentu segalanya,” katanya pada sidang media final MPFL.

Beliau berkata, Pahang Rangers merupakan pasukan yang kuat terutama di gelanggang sendiri, namun pemain akan cuba mengikut perancangan yang pasukan telah tetapkan dalam usaha menjinakkan lawan

Baldasso berkata, dia berharap barisan pemain Selangor tidak banyak melakukan kesilapan, mereka perlu memberi persembahan dan aksi terbaik malam ini  sekiranya ingin sekali lagi menjulang kejuaraan.

“Pemain import Pahang Rangers memiliki kebolehan tinggi, kemampuan menghasilkan jaringan boleh mengancam pintu gol Selangor. Pergerakan mereka perlu sentiasa di kawal terutama di kawasan pintu gol,” katanya.

Bagi ketua pasukan Merah Kuning, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, dia berharap rakan sepasukan dapat memberi persembahan yang terbaik sepanjang perlawanan yang dijangka menarik dan mendebarkan.

Katanya, bukan mudah untuk menewaskan Pahang Rangers di gelanggang mereka, namun tidak mustahil tuan rumah tewas sekiranya pemain Selangor memberi persembahan terbaik seperti yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini yang berpihak pada Merah Kuning.

“Saya dan pemain lain akan berusaha sedaya upaya untuk mencatat kemenangan malam ini sebelum sekali lagi bertemu pada 31 Oktober ditempat sendiri.

“Kehadiran penyokong Merah Kuning ke Stadium Tertutup SUKPA malam ini mampu menambahkan lagi semangat pemain beraksi dengan lebih baik memburu kemenangan,” katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here