Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan Pahang Rangers FC penuh yakin mampu menjinakkan Selangor FC pada aksi pertama final Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup SUKPA, di sini malam ini.
Rekod dua kekalahan pada saingan liga musim ini dan tunduk lesu 3-13 pada pertemuan final musim lalu bukan ukuran yang akan menentukan keputusan perlawanan malam ini.
Ketua jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso Fraile, berkata dia optimis anak buahnya bakal tampil dengan aksi terbaik pada aksi final untuk kembali merangkul trofi kejuaraan musim ini selepas gagal menyerlah pada final musim lalu.
Menurutnya, dia amat gembira apabila Pahang Rangers dapat kembali beraksi di final MPFL musim ini, beraksi dipentas final ini bukan tugas yang mudah terutama selepas mencatat kemenangan penuh dramatik menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) diperingkat separuh akhir.
“Barisan pemain Pahang Rangers menjalani latihan penuh semangat dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan esok. Beberapa kelemahan sebelum ini berjaya diatasi. Pemain perlu tampil dengan lebih 200 peratus.
“Saya penuh yakin dan percaya dengan kemampuan barisan pemain, kelibat pemain tempatan dibantu awang import, Rodrigo da Silva dan Felipe de Souza mampu melakar kejayaan diharapkan,” kata pada sidang media final MPFL, di sini semalam.

Fraile menambah, kelebihan beraksi di gelanggang diharap dapat digunakan sepenuhnya oleh pemain, kehadiran penyokong setia Pahang Rangers dapat membantu moral pasukan yang begitu dahagakan kejuaraan.
Tambahnya lagi, episod duka final musim lalu apabila tewas 3-13 pada Selangor tidak mungkin berulang lagi, pemain Pahang Rangers pasti berusaha menebus kekecewaan musim lalu dan tewas saingan liga musim ini.
Bagi ketua pasukan Tok Gajah, Akmarulnizam Idris, semangat menebal barisan pemain Pahang Rangers menjadi senjata digunakan untuk menewaskan Selangor dihadapan penyokong setia.
Katanya, tidak ada istilah bimbang dengan kehebatan lawan selaku juara musim lalu, semua persiapan telah diatur oleh jurulatih kini hanya menanti untuk diterjemahkan.
“Saya memuji keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memperkenalkan perlawanan separuh akhir dan akhir MPFL musim secara timbal balik, ia memberi peluang sepenuhnya untuk pasukan mencatat kemenangan.
“Saya dan rakan-rakan akan turun dengan kesungguhan 200 peratus malam ini dalam memastikan kemenangan dapat dilakar,” katanya yang telah menyumbang enam gol musim ini.
IMedikel TV






