Home Buletin Semasa DIDAKWA REKA PINJAMAN RM1.5 JUTA, PENGARAH SYARIKAT MENGAKU TIDAK BERSALAH

DIDAKWA REKA PINJAMAN RM1.5 JUTA, PENGARAH SYARIKAT MENGAKU TIDAK BERSALAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini, semalam atas pertuduhan memperdayakan seorang ahli perniagaan supaya menandatangani perjanjian pinjaman bernilai RM1.5 juta pada tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Pon Chee Weng, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Sharifah Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun, untuk menandatangani perjanjian yang menyatakan kononnya mangsa telah menerima pinjaman berjumlah RM1.5 juta daripada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dikatakan mengetahui wang berkenaan tidak pernah dibayar kepada mangsa.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan mangsa mempercayai pinjaman berkenaan benar-benar wujud, sekali gus mendedahkannya kepada liabiliti pembayaran berdasarkan perjanjian terbabit serta mengakibatkan kerugian kewangan.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Jalan Kota Permai, di sini, pada 11 Mei 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hasanuddin Mohd Yusoff dan Syairah Atiqah Mustaffa Bakri.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 selain memohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu supaya jaminan dikurangkan dengan memberi jaminan anak guamnya akan mematuhi segala syarat yang ditetapkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin, mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali serta tidak perlu menyerahkan pasport.

Mahkamah menetapkan tarikh ebutan semula kes pada 17 Disember depan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here