Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BERA: Sebanyak 625 pokok spesies Meranti Temak Nipis dan Merawan Siput Jantan ditanam secara gotong-royong dalam kawasan rayau hidupan liar seluas satu hektar di Hutan Simpan Chini Tambahan, di sini semalam.
Program yang disertai lebih 100 peserta pelbagai agensi kerajaan dan swasta antara usaha dilakukan Seksyen Pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) untuk memulihkan kawasan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera.

Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Harry Yong, berkata program menanam pokok yang diadakan turut dapat menambahkan lagi kawasan rayau hidupan liar di daerah ini.
Menurutnya, tanpa usaha memulihkan kawasan hutan dengan aktiviti menanam semula pokok yang sesuai berada di hutan terbabit, hidupan liar antaranya seperti rusa, kijang dan kancil akan bertindak meninggalkan tempat berkenaan.
Katanya, kawasan hutan yang telah diteroka perlu dipulihkan dengan cara menanam semula pokok spesies yang sesuai ditempat terbabit, usaha berkenaan menjadi tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan sokongan pelbagai pihak.
“Kerjasama agensi kerajaan, swasta, pertumbuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan amat penting dalam menjayakan program menanam semula pokok dalam kawasan terosok di negeri ini. Hampir setiap bulan program penghijauan diadakan diperingkat daerah dan negeri.
“Tidak ketinggalan program menanam pokok dilakukan di kawasan pesisir pantai di Kuantan, Pekan dan Rompin dalam usaha mengurangkan kejadian hakisan pantai setiap kali Monsun Timur Laut melanda pantai timur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Masyarakat Berkaitan Central Forest Spine (CFS) dan Penanaman Pokok Di Kawasan Rangkaian Ekologi CPL6 Ramsa Tasek Bera, di sini.
Hadir sama Pegawai Hutan Daerah Temerloh/Bera, Nik Muhammad Faris Nik Othman dan Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Affeefah Amanee Che Ahamed.
Program membabitkan penyertaan agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kolej Komuniti Bera, Affin Bank Temerloh, Majlis Daerah Temerloh dan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh/Bera.
Harry berkata, CFS merupakan koridor ekologi untuk laluan semulajadi dan perlindungan habitat pelbagai spesies flora serta fauna selain mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar termasuk memperkukuh pemeliharaan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem negara secara bersepadu.
“Di Pahang terdapat sembilan rangkaian ekologi seluas lebih121,573 hektar membabitkan Hutan Simpan Kekal, Hutan Tanah Kerajaan, Taman Negara dan kawasan perlindungan lain.
“Selain Pahang dan Perak terdapat enam lagi negeri yang di semenanjung yang berada dalam rangkaian ekologi CFS,” katanya.
IMedikel TV






