Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang bertindak menyita kenderaan jenis Land Rover yang tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) selama 18 tahun di Jalan Sungai Palas-Gunung Brinchang, di sini, kelmarin
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, berkata kesalahan lain dikesan mendapati kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun itu turut tidak mempunyai perlindungan insurans.
Menurutnya, ketika ditahan kenderaan pacuan empat roda berkenaan membawa tiga penumpang tempatan dipercayai dalam perjalanan mengunjungi beberapa tempat menarik di daerah ini termasuk Mossy Forest.
Katanya, pemeriksaan anggota penguat kuasa JPJ Cameron Highlands mendapati kenderaan terbabit melakukan kesalahan berulang, kenderaan berkenaan pernah disita pada Disember tahun lalu kerana kesalahan yang sama, namun melibatkan pemandu yang berbeza.
“Kita bertindak menyita kenderaan pacuan empat roda itu di bawah Seksyen 64(1) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987, kini diletakkan di Depoh Sita JPJ Raub untuk tindakan lanjut.
“Jabatan memandang serius kesalahan berulang ini dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua kenderaan yang beroperasi di jalan raya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau menambah, kenderaan yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong berkunjung ke Mossy Forest dan beberapa tempat menarik di daerah ini telah berdaftar dengan pihak kuasa.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang, tindakan tegas menunggu mereka bersikap degil dan seolah memandang remeh pada peraturan.
Katanya, dikesalkan lagi apabila terdapat kenderaan yang telah tamat tempoh LKM beberapa tahun, tindakan berkenaan seolah mencabar undang-undang yang ada hingga sanggup melihat kenderaan mereka disita.
“JPJ Cameron Highlands dari masa kesemasa melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan pelancong dan hasil pertanian yang berada diatas jalan raya.
“Tindakan undang-undang menanti mereka yang melakukan apa juga kesalahan jalan raya,” katanya yang turut mengesan kenderaan pelancong yang berada di pusat pelancong tanah tinggi itu.
IMedikel TV






