Home Hiburan PERJALANAN KERJAYA SENI YANG CUKUP INDAH

PERJALANAN KERJAYA SENI YANG CUKUP INDAH

Siapa yang dapat menidakkan kehebatan vokal, penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor, 47, dalam industri muzik tanah air.

Memetik laporan Harian Metro, Pada malam Konsert Gemilang Jaclyn bersama MPO (Orkestra Filharmonik Malaysia) yang meraikan perjalanan lebih dua dekad karier muziknya yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini turut membuktikan segalanya, Sabtu lalu.

Juara Malaysian Idol edisi pertama (2004) itu tampil dengan vokal yang memukau seramai 900 penonton ketika menyampaikan kira-kira 20 rangkaian lagu hitsnya yang diberikan nafas baharu menerusi susunan simfoni oleh MPO dalam durasi dua jam.

Dalam ucapannya, Jaclyn atau pemilik nama sebenar Jaclyn Joshua Thanaraj Victor mengakui konsert Gemilang itu adalah satu perjalanan panjang lebih dua dekad dan sangat indah.

“Saya sangat teruja untuk kembali mengadakan konsert bersama MPO apatah lagi kita ada orang yang hebat di belakang saya iaitu konduktor Ahmad Muriz,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh dari penonton.

Sebelum ini, Jaclyn pernah tampil sebagai penyanyi undangan dalam konsert MPO bertemakan Aubrey Suwito & Friends (2017), Judika & the MPO (2019) dan The Magnificent Seven (2022).

Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac membuka tirai persembahan dengan lagu This Is Me yang dipopularkan Keala Settle dan runut bunyi filem The Greatest Showman.

Penampilannya berjaya menyuntik kelainan dalam penyampaian lagu ciptaan Benj Pasek dan Justin Paul itu.

Lebih bermakna, Jaclyn juga membawa penonton mengimbau detik dia bertanding dalam program Malaysian Idol 2004 dengan menyampaikan lagu Tunggu Sekejap ciptaan dan nyanyian seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Saya masih ingat ketika diberi cabaran membawakan lagu ini ketika program Malaysian Idol sewaktu minggu P Ramlee dan ia lagu yang indah,” kata ibu kepada dua anak itu.

Jaclyn juga membawa penonton mengimbau zaman remajanya di mana dia sangat meminati lagu Superwoman nyanyian penyanyi terkenal Karyn White.

“Saya sangat sukakan lagu versi Karyn White kerana sedap didengar. Pada masa itu, saya belajar di tingkatan dua dan tiga, kami juga tinggal di rumah teres dan saya sering menyanyikan lagu itu bila balik dari sekolah.

“Suatu hari, kakak, jiran di sebelah rumah datang dan cakap ‘aku tahu kau boleh nyanyi’ dan beritahu lagu itu juga antara lagu kegemarannya,” kata isteri, Calvin T. Samuel itu.

Persembahan Jaclyn diteruskan dengan karya tulisan Irving Berlin dan dipopularkan Fred Astaire iaitu Cheek To Cheek dan Lady And The Tramp.

Dia juga menyahut cabaran Ahmad Muriz dengan menyampaikan lagu Itali iaitu O mio babbino caro diiringi muzik orkestra.

Jaclyn membuktikan kemampuannya kerana menyampaikan lagu Beribu Sesalan yang juga nyanyian asal bersama penyanyi Ning Baizura dan Shila Amzah secara solo sekali gus mendapat tepukan dari penonton.

Persembahan diteruskan dengan lagu Tiada Lagi Indah hasil ciptaan komposer Ajai yang jarang dipersembahkan secara ‘live’ sebelum ini dan disusuli lagu Ikut Rentakku ciptaan Edry dan Diamonds Are Forever.

Antara persembahan Jaclyn yang mencuri tumpuan penonton ialah segmen medley menerusi rangkaian lagu iaitu Listen, Hero, Natural Women, When You Believe dan I Surrender yang juga dedikasi kepada penyanyi ternama seperti Aretha Franklin, Whitney Housten, Mariah Carey, Celine Dion dan Beyonce.

Pemenang juara pertandingan Singer 2026 Malaysia yang merancang untuk menembusi pasaran China itu juga berjaya menyampaikan lagu Mandarin, Chong Bai yang dipopularkan Fish Leong dengan baik.

Tidak ketinggalan menyanyikan lagu Defying Graviti iaitu runut bunyi filem Wicked dengan penuh penghayatan.

Jaclyn menutup konsert dengan lagu Gemilang yang dinantikan penonton sekali gus turut menaikkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Dia juga meminta penonton untuk bangun dan menyanyi bersama dengan dua lagu ‘encore’ iaitu When I Fall In Love yang dipopularkan Nat King Cole dan Di Bawah Pohon Asmara sekali gus mengakhiri persembahan itu.

Konsert istimewa selama dua jam itu dibimbing konduktor muzik terkenal, Ahmad Muriz Che Rose.

Semua lagu disusun oleh komposer terkenal seperti Aubrey Suwito, Luqman Aziz, Shahhakam Mokhtar, Teuku Umar Ilany, Leonard Yeap, Gerard Salonga dan Ahmad Muriz sendiri.

Mengimbas latarnya, Jaclyn mula mencipta nama selepas menjuarai pertandingan Malaysian Idol 2004.

Albumnya, Gemilang, terjual lebih 20,000 unit di seluruh negara dan meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Album Pop Terbaik dan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005.

Album seterusnya, Inilah Jac, yang dilancarkan pada 2006 terus mengukuhkan beliau sebagai antara penyanyi terkemuka negara apabila memenangi anugerah Persembahan Vokal Wanita Terbaik pada AIM 2006.

Selain itu, album lain pernah dihasilkan termasuk Jaclyn Victor III, 3 Suara (sebuah projek khas bersama Shila Amzah dan Ning Baizura), Ikut Rentakku dan Unleashed.-HMetro-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here