Home Hiburan TAK SEPATUTNYA TERLALU AMBIL TAHU URUSAN JEMPUTAN PERKAHWINAN ORANG – PAK NIL

TAK SEPATUTNYA TERLALU AMBIL TAHU URUSAN JEMPUTAN PERKAHWINAN ORANG – PAK NIL

Kuala Lumpur: Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi menegaskan ketidakhadirannya ke majlis perkahwinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi Bella Astillah bukan disebabkan tidak menerima jemputan, sebaliknya dia mempunyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Memetik laporan Harian Metro, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkata, dia bukan sahaja dijemput menghadiri majlis pasangan itu, malah diminta menggalas tanggungjawab sebagai pengacara, namun terpaksa menolak kerana sudah mempunyai urusan lain pada tarikh berkenaan.

“Saya tak berkelapangan untuk hadir dan sebenarnya wakil daripada Syed Saddiq sudah jemput saya sebelum kalian tahu tarikh perkahwinan mereka lagi.

“Cuma saya tak berkelapangan semasa pernikahan dan juga resepsi kerana saya ada majlis sendiri. Pada waktu yang sama juga, sebenarnya saya dipancing juga untuk menjadi hos majlis perkahwinan tetapi saya berasa ralat kerana tak dapat tunaikan,” katanya.

Aznil berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Show Ada Kelas bersama Icon Entertainment, semalam.

Mengulas persoalan seorang pengguna Threads mengenai ketidakhadirannya pada majlis berkenaan, pengacara berusia 64 tahun itu berpendapat orang ramai tidak sepatutnya terlalu mengambil tahu urusan jemputan atau kehadiran seseorang ke majlis perkahwinan.

“Kenapa hendak bertanya sama ada orang itu datang atau tidak. Semua mempunyai agenda tersendiri, yang penting kita doakan perkahwinan serta kebahagiaan mereka.

“Pengantin tak buka mulut, jadi yang tak ada kena-mengena dengan keluarga pengantin dan pengantin ini, kenapa berbunyi? Sekian, terima kasih,” katanya.

Sebelum ini, terdapat pengguna Threads mempersoalkan ketidakhadiran Aznil pada majlis perkahwinan pasangan yang digelar peminat sebagai BASS itu, malah mendakwa pengacara berkenaan tidak menerima jemputan.

Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri pada 10 Oktober lalu di aras 118 Menara Merdeka Maybank, di sini.

Majlis resepsi pasangan itu kemudian berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu, Ahad lalu.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here