Home Sukan HAKIM DANISH TEKAD BANGKIT DI PHILLIP ISLAND

HAKIM DANISH TEKAD BANGKIT DI PHILLIP ISLAND

Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengalihkan tumpuan kepada Grand Prix (GP) Australia hujung minggu ini dengan tekad memperbaiki prestasi selepas mengharungi perlumbaan mencabar di Indonesia, baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI berkata, pengalaman di Litar Mandalika memberi banyak pengajaran kepadanya untuk memperkemaskan aksi menjelang perlumbaan seterusnya di Litar Phillip Island minggu ini.

Di Indonesia, pelumba berusia 19 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan dari petak terakhir selepas dikenakan penalti grid.

Bagaimanapun, Hakim Danish mempamerkan kebangkitan memberangsangkan sehingga menghampiri kelompok 10 terbaik sebelum insiden pada penghujung perlumbaan menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat ke-14.

“Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan dengan baik dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya.

“Saya juga tidak sabar untuk beraksi di sana kerana melihat kepada litar itu, saya rasa ia sangat menarik. Saya menantikan sesi latihan pertama esok.

“Bagi persiapan menghadapi perlumbaan di Phillip Island, saya menjalani latihan di Malaysia selain meneliti semula kesilapan yang dilakukan dalam dua perlumbaan sebelum ini.

“Saya cuba memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dan mahu memberikan aksi terbaik minggu ini sebelum pulang untuk menghadapi perlumbaan di laman sendiri di GP Malaysia.

“Kecederaan akibat kemalangan sebelum ini juga semakin pulih. Walaupun masih ada sedikit rasa sakit, keadaan itu bukan penghalang untuk saya terus berjuang dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Ketika ini, Hakim Danish sudah mengumpul 103 mata untuk menduduki tangga kesembilan dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan Moto3.

Selepas berakhirnya GP Australia, pelumba negara itu akan kembali beraksi di laman sendiri apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi venue GP Malaysia dari 30 Oktober hingga 1 November ini.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here