Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee menyumbang pingat emas keenam buat kontinjen Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menjuarai acara lompat jauh lelaki T12, hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, Perkembangan itu dimaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Atlet kelahiran Kota Kinabalu itu mencatat lompatan sejauh 6.74 meter (m) di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic untuk meraih emas pertamanya pada temasya berkenaan.
Catatan terbaik itu dilakukan pada percubaan pertama sebelum Wong merekodkan lompatan sejauh 6.60m pada percubaan kedua, 6.47m (ketiga), 6.36m (keempat), 6.39m (kelima) dan 6.40m pada percubaan terakhir.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Wong, 35, memperbaiki pencapaiannya pada Sukan Para Asia Jakarta 2018 apabila meraih pingat perak dalam acara sama.
Pingat perak menjadi milik atlet Uzbekistan, Sevinchbek Khusanov dengan catatan 6.54m, manakala wakil tuan rumah, Daiki Ishiyama membawa pulang gangsa selepas melakukan lompatan sejauh 6.48m.
Lima emas sebelum ini disumbangkan perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dalam acara 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal); badminton beregu lelaki SU5, Cheah Liek Hou-Mohamad Faris Ahmad Azri; atlet olahraga, Datuk Abdul Latif Romly (acara lompat jauh T20 lelaki); atlet powerlifitng, Bonnie Bunyau Gustin (bawah 72kg) dan atlet berbasikal para, Zuhairie Ahmad Tarmizi (ujian masa 1,000m lelaki kategori C4-C5).-HMetro Online-
IMedikel TV






