Home Buletin Semasa JBPM PAHANG PERIKSA 80 PREMIS PENGINAPAN DAN PELANCONGAN DI JANDA BAIK

JBPM PAHANG PERIKSA 80 PREMIS PENGINAPAN DAN PELANCONGAN DI JANDA BAIK

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

BENTONG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berusaha meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di premis penginapan dan pelancongan di Janda Baik, di sini.

Pemeriksaan keselamatan kebakaran dilakukan menerusi Ops Bersasar Premis Pelancongan Janda Baik 2026 bagi menjamin tahap keselamatan setiap premis yang terdapat di kawasan berkenaan.

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata operasi dijalankan oleh Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Pahang dengan kerjasama pegawai Bahagian Keselamatan Kebakaran Zon 2 dengan menyasarkan 80 premis pelancongan secara berperingkat hingga akhir tahun ini.

Katanya, operasi ini membabitkan pemeriksaan aspek keselamatan kebakaran, pengenalpastian bahaya kebakaran, tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta pemberian khidmat nasihat kepada pihak pengurusan premis.

Menurutnya, tumpuan turut melibatkan pelaksanaan Rancangan Pra Insiden (RPI) bagi memperkukuh kesiapsiagaan pasukan bomba dalam menghadapi kemungkinan berlaku kebakaran atau kecemasan di kawasan berkenaan.

“Kerjasama strategik bersama agensi berkaitan turut menjadi elemen penting dalam memastikan aspek keselamatan premis pelancongan diberi perhatian secara menyeluruh, selaras dengan keperluan melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan pengunjung.

“Janda Baik yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian pilihan penginapan berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan. Justeru, tahap keselamatan yang terbaik penting dalam mencegah kejadian kebakaran yang menjadi asas kepada keyakinan pengunjung dan kelestarian industri pelancongan setempat,”katanya, di sini kelmarin.

Beliau yang turut sama menyertai operasi berkenaan berkata, keselamatan kebakaran bukan sahaja pematuhan kepada peraturan tetapi turut menjadi tanggungjawab bersama pengusaha premis penginapan dan pelancongan.

Mohd Razam menambah, JBPM Pahang komited untuk terus memperkukuh langkah pencegahan, meningkatkan kesedaran dan memastikan aspek keselamatan kebakaran sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan premis pelancongan.

“Kita tidak ingin melihat kejadian kebakaran berlaku hingga mengundang kecederaan dan kamalangan jiwa di kalangan pekerja dan pelancong yang menginap di premis premis penginapan dan pelancongan di sini.

“Justeru, tindakan JBPM Pahang mengadakan Ops Bersasar Premis Pelancongan Janda Baik bukan untuk menyusahkan pengusaha tetapi lebih kepada peringatan dan tindakan awal,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here