Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Bahasa Melayu perlu terus diperkasa sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan identiti negara tanpa meletakkannya dalam persaingan dengan bahasa Inggeris yang turut penting dalam hubungan antarabangsa.
Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman, berkata bahasa Melayu mempunyai kekuatan tersendiri berdasarkan sejarah, khazanah budaya serta perkembangan istilah dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.
Beliau berkata, tanggapan bahawa bahasa Inggeris lebih penting berbanding bahasa Melayu perlu diperbetulkan kerana kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza dalam kehidupan masyarakat.

“Bahasa Inggeris ialah bahasa yang berguna, tetapi kita tidak sepatutnya melihat bahasa Melayu melalui perbandingan dengan bahasa itu.
“Bahasa Melayu mempunyai khazanah tersendiri, termasuk peribahasa, pantun, istilah serta kekayaan budaya yang mencerminkan identiti masyarakat dan tamadun Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Simposium Antarabangsa Penggunaan dan Kelangsungan Bahasa Melayu Nusantara 2026 di sini, hari ini.
Aziz berkata, bahasa Melayu juga mempunyai keupayaan untuk berkembang sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains, teknologi dan kecerdasan buatan (AI), selagi usaha memperkaya istilah serta penggunaannya diteruskan.
Menurutnya, bahasa Melayu perlu dilihat secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada warisan budaya dan tamadun, bukan sekadar alat komunikasi atau bahasa untuk tujuan akademik semata-mata.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan tempatan, khususnya dalam sektor awam dan swasta, bagi memastikan identiti negara terus terpelihara.
Katanya, penggunaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris bagi urusan antarabangsa tidak seharusnya menyebabkan bahasa Melayu dipinggirkan dalam urusan dalam negara.
“Jangan sampai kita kehilangan identiti dan keberadaan Malaysia hanya kerana terlalu mengutamakan bahasa lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Aziz berpandangan cadangan memperkukuh kuasa penguatkuasaan DBP, termasuk kemungkinan mengenakan penalti terhadap kesalahan penggunaan bahasa, perlu dikaji secara teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, penelitian perlu dilakukan bagi mengenal pasti bentuk kesalahan yang sesuai dikenakan tindakan, termasuk aspek ejaan, tatabahasa dan penggunaan bahasa pada papan tanda.
Beliau berkata, kajian itu penting bagi memastikan sebarang pindaan undang-undang dilaksanakan berdasarkan keperluan yang jelas dan tidak dibuat secara tergesa-gesa.
“Perlu dikaji sama ada penguatkuasaan itu benar-benar diperlukan, dan jika perlu, dalam aspek mana ia wajar dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata simposium berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk ahli akademik, tokoh bahasa dan wakil institusi dari rantau Nusantara.
Program anjuran Majlis Kebudayaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Kelantan itu turut membabitkan beberapa badan dan pertubuhan kebudayaan bagi membincangkan penggunaan serta kelangsungan bahasa Melayu di rantau berkenaan.
Antara negara yang diberi perhatian ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand, selain penyertaan dari negara Asia Tenggara lain seperti Laos dan Vietnam.
Aziz berkata, simposium itu antara lain bertujuan mencari kesepakatan untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dan ilmu di rantau Nusantara, selain meningkatkan kesedaran mengenai hubungan bahasa dengan budaya serta identiti masyarakat.
IMedikel TV






