Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT BABIT TIGA KENDERAAN

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT BABIT TIGA KENDERAAN

114
0

KUALA KRAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Kampung Bukit Batu, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

“Mangsa, lelaki tempatan berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan.

”Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Batu Balai menuju ke Mengkebang dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh tajam.

“Akibatnya, motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang berada di laluan sah,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang mengekori mangsa turut hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

Beliau berkata, penunggang motosikal itu serta pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk proses bedah siasat,”katanya.

Mazlan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang menunggang motosikal sehingga hilang kawalan di kawasan selekoh dan memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, terutama sepanjang bulan Ramadan, selain menitikberatkan aspek keselamatan termasuk memakai topi keledar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here