Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas dalam kemalangan di Jalan Jelawang–Gua Musang berhampiran Lata Kertas, Dabong, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superitendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 petang daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 3.55 petang ketika mangsa bersama dua rakannya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan, lalu terjatuh ke cerun dan melanggar sebatang pokok,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam kejadian sama, dua penumpang lelaki berusia 20 dan 18 tahun mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk proses bedah siasat.
Mazlan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang hilang kawalan ke atas kenderaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika musim perayaan apabila jumlah kenderaan meningkat.
“Pastikan mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan berhenti di kawasan rehat sekiranya keletihan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222.
IMedikel TV






