Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Pelbagai jenis ubi sudah tentu menjadi pilihan bila tiba musim tengkujuh untuk dijadikan hidangan keluarga.
Khususnya di Negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Ia sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada peniaga ubi.
Tinjauan I Medikel TV di Kampung Pasir Hor, mendapati seorang pemuda menjual sebanyak 200 kilogram ubi dalam masa sehari.
Peniaga, Nik Khairul Helmi Elham Shah Nik Ismadi, 23, dari Kota Bharu, berkata, menjelang musim banjir, jualan ubi kayu mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Katanya, sepanjang musim hujan, dia mampu menjual antara 150 hingga 200 Kilogram (KG) ubi sehari.
“Dalam satu hari saya mampu menjual sebanyak 150 hingga 200 Kilogram (KG) ubi kayu.
“Musim hujan sekarang ini, memang ramai orang cari ubi kayu memang sesuai dimakan pada cuaca sejuk seperti musim tengkujuh sekarang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kampung pasir hor, di sini, semalam.
Menurut Helmi, dia mengambil bekalan ubi sebanyak 1 tan dan mampu menghabiskannya dalam masa lebih kurang empat hari.

Tambahnya, kebanyakan penggemar ubi kayu mengunjungi gerainya yang terkenal sebagai lokasi bagi mendapatkan pelbagai jenis ubi.
Katanya, setiap hari dia menjual tiga jenis ubi termasuk ubi kayu, ubi keledek, ubi kemili atau lebih dikenali ubi keling dalam masyarakat kelantan.
Malah dia juga turut menjual kacang pol dan kacang tanah.
“Biasa kalau waktu petang memang ramai kerana orang akan singgah ketika pulang daripada kerja.
“Saya jual ubi kayu pada harga RM4 sekilogram dan RM10 untuk 3kg,” katanya.
Tambah Helmi, ubi kayu adalah paling mendapat sambutan kerana ia sinonim dengan musim tengkujuh dan ia biasanya direbus serta dicicah dengan kelapa parut.
Dia turut memperoleh bekalan ubi itu daripada petani di sekitar kawasan Bachok dan Besut.
Jelas Helmi, sekiranya bukan musim hujan, dia menjual buah nangka, buah tembikai dan lain-lain lagi.
Tambahnya, dia mula menjual ubi sejak tahun lalu sebaik sahaja masuk musim banjir.
Helmi dibantu seorang pekerja, Zulkifli Ahmad Lawi, 19, dari Kota Bharu.

I Medikel TV






