MIAMI: Pemain tenis nombor satu dunia, Aryna Sabalenka tidak berselindung apabila mengulas mengenai kejohanan di Dubai minggu ini, dengan mengakui kritikan susulan penarikan dirinya pada Februari lalu membuatkan dia mempertimbangkan untuk tidak kembali beraksi di sana.
“Saya tidak pasti sama ada mahu kembali ke sana selepas komen itu. Bagi saya, ia terlalu melampau,” katanya pada aksi Terbuka Miami Open, semalam.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, rasa tidak puas hati Aryna berpunca daripada kenyataan pengarah kejohanan Kejohanan Tenis Dubai, Salah Tahlak selepas dia dan Iga Swiatek menarik diri daripada acara WTA 1000 itu pada Februari.
Menurut Tahlak, penarikan diri kedua-dua pemain itu dianggap mengejutkan selain alasan diberikan disifatkan agak pelik.
“Iga berkata dia tidak bersedia dari segi mental, manakala Aryna menyatakan mengalami kecederaan kecil. Saya fikir perlu ada hukuman lebih tegas terhadap pemain, bukan sekadar denda, malah potongan mata ranking,” katanya kepada media sebelum ini.
Mengulas perkara itu, Aryna menyifatkan cadangan berkenaan sebagai tidak masuk akal dan mencerminkan jurang besar antara penganjur kejohanan dan pemain.
“Bagi saya ia kelakar. Sebenarnya sangat menyedihkan apabila melihat pengarah kejohanan dan penganjur tidak melindungi kami sebagai pemain.
“Mereka hanya fikir mengenai jualan dan kejohanan mereka sahaja,” katanya.
Aryna turut menjelaskan keputusan tidak beraksi di Dubai adalah sebahagian daripada pendekatan lebih tersusun bagi menjaga keadaan fizikalnya dalam jadual pertandingan yang semakin padat.
“Saya rasa jadual sekarang terlalu gila. Kami perlukan ruang untuk ‘reset’, pulih semula dan bersedia bagi kejohanan besar,” katanya. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






