TEHRAN: Pembunuhan setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Larijani, oleh Israel tidak akan memberikan tamparan maut kepada kepimpinan negara itu, kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, dalam temu bual dengan Al Jazeera, Araghchi berkata, Amerika Syarikat (AS) dan Israel masih belum memahami bahawa kerajaan Iran tidak bergantung kepada seorang individu sahaja.
Beliau berkata, Republik Islam Iran mempunyai struktur politik yang kukuh dengan institusi politik, ekonomi dan sosial yang terbentuk.
“Kehadiran atau ketiadaan seorang individu tidak menjejaskan struktur ini.
“Sudah tentu, individu mempunyai pengaruh dan setiap orang memainkan peranan mereka, ada yang lebih baik, ada yang lebih buruk, ada yang kurang, tetapi yang penting sistem politik di Iran adalah satu struktur yang sangat kukuh,” katanya.
Araghchi turut merujuk kepada pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada hari pertama serangan AS dan Israel pada 28 Februari.
Beliau berkata, walaupun kehilangan besar itu, sistem politik Iran tetap diteruskan dan pengganti segera disediakan.
Dalam temu bual itu, Araghchi turut menegaskan, perang yang semakin memuncak di rantau Teluk bukan pilihan Tehran sebaliknya, AS perlu dipertanggungjawabkan terhadap semua akibatnya.
Dalam pada itu, Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei pula berkata, beliau menerima berita kematian Larijani dengan dukacita yang mendalam.
Katanya, pembunuhan tokoh berkenaan menunjukkan kepentingannya dan kebencian musuh Islam terhadapnya.
Larijani, 67, terbunuh dalam serangan pada malam Isnin dan menjadi tokoh paling kanan dalam kepimpinan Tehran yang disingkirkan sejak serangan udara pertama perang itu 19 hari lalu.
Media kerajaan Iran turut mengesahkan, ketua pasukan Basij dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigadier Jeneral Gholamreza Soleimani, terbunuh dalam serangan yang disifatkan sebagai serangan ‘musuh AS-Zionis’.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian juga mengesahkan, Menteri Perisikan Iran, Esmaeil Khatib terbunuh, menjadikannya pembunuhan sasaran ketiga terhadap tokoh politik kanan Iran dalam tempoh dua hari.
Sementara itu, penganalisis politik kanan Al Jazeera, Marwan Bishara berkata, Israel sudah lama terbabit dalam pembunuhan terhadap lawan politiknya yang bukan amalan biasa dalam peperangan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






