Home Buletin Semasa TAMBANG ECRL KOTA BHARU- GOMBAK RM147 BERBALOI DENGAN TEMPOH 4 JAM

TAMBANG ECRL KOTA BHARU- GOMBAK RM147 BERBALOI DENGAN TEMPOH 4 JAM

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tambang perjalanan sehala Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak sebanyak RM147 disifatkan berbaloi oleh penumpang yang berpeluang menyertai Program Percubaan Perjalanan Tren Electric Multiple Unit (EMU) ECRL hari ini.

Presiden I Medikel TV, Yusmat Mamat berkata, harga yang ditawarkan itu adalah berpatutan memandangkan penumpang dapat menikmati perjalanan yang lebih singkat dan selesa berbanding pengangkutan darat.

Beliau berkata, perjalanan kira-kira empat jam antara Kota Bharu dan Gombak mampu menjimatkan masa pengguna yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan yang jauh melalui jalan raya.

“Pada saya, tambang RM147 ini berbaloi dengan masa perjalanan sekitar empat jam yang ditawarkan.

“Penumpang bukan sahaja dapat sampai lebih cepat, malah dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa,” katanya kepada IMedikel TV semasa Program Percubaan Perjalanan Tren EMU ECRL 2026 bersama media, hari ini.

Sementara itu, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Fadzli Ibrahim, menyifatkan peluang merasai sendiri perjalanan percubaan ECRL sebagai pengalaman yang amat bermakna.

Menurutnya, harga tambang yang ditawarkan adalah wajar berdasarkan kemudahan serta masa perjalanan yang dapat dijimatkan bagi penumpang dari Kelantan ke Lembah Klang.

“Saya berterima kasih kerana diberi peluang menaiki tren ini. Pada saya, tambang yang dikenakan adalah berbaloi dengan perjalanan dan kemudahan yang disediakan,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Penolong Jurutera Kanan JKR Pasir Puteh, Kafasliza Shafii, yang bersetuju bahawa kadar tambang berkenaan setimpal dengan perkhidmatan yang bakal dinikmati penumpang.

Kafasliza berkata, ECRL dijangka menjadi pilihan ramai terutama bagi mereka yang sering berulang-alik antara Pantai Timur dan Lembah Klang untuk urusan kerja serta keluarga.

Bagi Jurutera Jalan JKR Pasir Puteh, Haslinda Ahmad, perkhidmatan ECRL merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan sejak sekian lama oleh penduduk Pantai Timur.

“Saya memang sudah lama mengimpikan perkhidmatan tren laju seperti ini. Dengan adanya ECRL, perjalanan menjadi lebih mudah dan selesa,” katanya sambil menyifatkan projek berkenaan sebagai pemangkin pembangunan sistem pengangkutan moden negara.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here