Oleh: Wartawan IMedikel TV
JELI: Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan selepas dikesan memandu sebuah kereta import jenis Honda Integra yang disyaki kenderaan klon dalam rondaan cegah jenayah di Kampung Bukit Lakota, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menahan kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan ketika menjalankan rondaan.
Hasil pemeriksaan mendapati nombor casis dan nombor enjin kenderaan itu tidak mempunyai rekod pendaftaran dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Malah, nombor pendaftaran NDH 2475 yang digunakan pada kenderaan berkenaan turut disyaki palsu, sekali gus menimbulkan kemungkinan ia sebuah kenderaan klon.
Susulan penemuan itu, suspek ditahan manakala kenderaan terbabit dirampas sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Jeli untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Lebih mengejutkan, ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine (meth).
Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai 13 rekod berkaitan kes jenayah dan narkotik.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 108(3)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya IPD Jeli, akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan jenayah dan sebarang pelanggaran undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Jeli menerusi talian 09-944 0222.
IMedikelTV






