Home Sukan ADAM BURU PINGAT DI KEJOHANAN BAKAT OLIMPIK AKUATIK 

ADAM BURU PINGAT DI KEJOHANAN BAKAT OLIMPIK AKUATIK 

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Perenang muda Pahang, Adam Shahrul Rizal, memasang tekad memburu pingat pada Temasya Bakat Olimpik Akuatik 2026 yang bakal berlangsung di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, Perak, dari 11 hingga 13 Disember ini.

Pemilihan itu membuka peluang kepada perenang berusia bawah 15 tahun berkenaan untuk menguji kemampuan di pentas kebangsaan, selain menimba pengalaman bersaing dengan perenang terbaik dari seluruh negara.

Adam yang mewakili Gohok Swimming Club (Pahang) membuktikan kemampuan apabila muncul penyumbang pingat terbanyak kontinjen Pahang pada Kejohanan Renang Pantai Timur Kali Ke-3 2026 di Kompleks Renang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), minggu lalu.

Beliau meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa menerusi penyertaan dalam beberapa acara renang.

Menurut Adam, peluang beraksi pada temasya berkenaan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memburu pingat, khususnya dalam acara yang menjadi pilihannya.

” Saya belum pasti acara yang akan disertai kerana jurulatih dan pengurus akan menentukan penyertaan nanti.

“Antara acara kegemaran saya ialah 50, 100 dan 200 meter kuak lentang serta 50 dan 100 meter kuak kupu-kupu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau mengakui persaingan di peringkat kebangsaan pastinya lebih mencabar, terutama apabila perlu berdepan perenang terbaik dari negeri lain.

Bagaimanapun, Adam bertekad memberikan persembahan terbaik dan berharap usaha itu mampu membuahkan kejayaan untuk membawa pulang pingat.

“Saya hanya mampu memberi jaminan akan melakukan yang terbaik dalam usaha membawa pulang pingat tanpa mengira warna.

“Tempoh masa yang ada akan digunakan untuk memantapkan lagi latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu,” katanya.

Sebelum ini, Adam turut mencatat kejayaan apabila meraih dua pingat emas, lima perak dan dua gangsa pada Kejohanan Akuatik (Renang) Majlis Sukan Sekolah Pahang 2026.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here