Kuala Lumpur: Biarpun masih menerima tawaran, pelakon, Fatin Afeefa tetap dengan pendirian mahu bersara daripada dunia lakonan sekali gus tidak bercadang kembali aktif di layar perak.
Memetik laporan Harian Metro, Fatin atau nama sebenarnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin, 32, berkata, keputusan meninggalkan kerjaya lakonan dibuat selepas mendirikan rumah tangga dan pendirian itu kekal sehingga kini.
Malah, pelakon yang mula menceburi bidang seni sejak berusia lapan tahun itu menganggap filem Bisikan arahan Opie Zami sebagai naskhah terakhirnya.
“Saya sudah lama berhenti berlakon. Kali terakhir menjalani penggambaran adalah pada 2020 menerusi filem Bisikan. Saya berhenti selepas berkahwin dan rasanya pernah mengumumkan perkara itu ketika bertunang.
“Saya memang tidak mahu berlakon lagi. Filem Bisikan adalah yang terakhir. Sebenarnya, saya pun sudah terlupa mengenai filem ini. Apabila pihak produksi menghubungi untuk tujuan promosi, saya terkejut kerana menyangka filem ini tidak akan ditayangkan.
“Masih ramai pelakon baharu yang boleh diberikan peluang. Saya juga menghormati permintaan suami dan memandangkan pernah timbul fitnah ketika saya berlakon, lebih baik saya tidak meneruskan kerjaya ini,” katanya.
Mengulas sama ada merindui dunia lakonan, Fatin berkata, dia tidak berasa kehilangan kerana sudah terlalu lama mengabdikan diri dalam bidang seni dan kini mahu memberikan lebih perhatian kepada keluarga.
Menurutnya, selepas membesar dalam persekitaran seni sejak kecil, dia berasa sudah tiba masa untuk menikmati kehidupan di luar tuntutan kerjaya sebagai anak seni.
“Saya tidak rindu kerana sudah mula berlakon sejak berusia lapan tahun. Jadi, untuk kembali berlakon, saya rasa penat dan mahu melakukan perkara lain pula.
“Seluruh kehidupan saya sebelum ini berkisar mengenai lakonan, kerja dan nyanyian. Saya sudah sampai ke satu tahap mahu duduk di rumah, menonton televisyen serta membawa anak berjalan-jalan dan bermain,” katanya.
Mengakui masih menerima tawaran lakonan, Fatin berkata, dia memilih untuk menolak secara baik tanpa menjejaskan hubungan dengan mana-mana pihak produksi.
“Saya tolak dengan baik dan apabila memberitahu suami tidak mengizinkan, mereka memahami. Saya sudah membuat keputusan dan tidak mahu menarik balik pendirian itu,” katanya. – HMetro –
IMedikelTV






