BANGKOK: Penyanyi Aina Abdul memohon maaf tidak dapat memenuhi harapan rakyat Malaysia untuk mengungguli Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Aina yang menduduki tempat keempat dengan 152 markah mengakui sedar ramai peminat dan rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi untuk melihatnya menjuarai pertandingan itu.
Bagaimanapun, kemenangan menjadi milik wakil Filipina, Carmelle yang mengumpul 211 markah, mengatasi 10 peserta lain.
Menerusi perkongsian di akaun Threads TV3, Aina berkata, dia yakin sudah memberi persembahan terbaik dan menganggap pengalaman menyertai pertandingan berkenaan sebagai antara perjalanan paling bermakna dalam kerjaya seninya.
“Saya minta maaf sekiranya mengecewakan anda semua. Saya yakin kami sudah melakukan yang terbaik dan saya juga sudah memberikan segala-galanya.
“Namun, ini antara perjalanan terbaik dalam kerjaya saya kerana pengalaman ini tidak pernah ada dalam buku atau mana-mana panduan. Saya perlu melaluinya sendiri,” katanya.
Aina yang dilihat sebak ketika berkongsi perasaan hingga terdiam seketika, bagaimanapun menjelaskan, air mata yang mengalir bukanlah tanda dia berasa kalah atau tidak dapat menerima keputusan pertandingan.
Sebaliknya, penyanyi Puas Sudah itu berkata, tangisan berkenaan adalah luahan emosi selepas melalui perjalanan panjang yang sarat dengan cabaran.
“Walaupun saya mengalirkan air mata, bukan bermakna saya kalah dengan diri sendiri. Itu cuma emosi selepas segala-galanya selesai.
“Saya tahu diri saya. Saya cuma perlukan beberapa jam, mungkin sehari atau beberapa hari. Selepas itu, saya akan baik-baik sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Aina meluahkan rasa syukur kerana dikelilingi pasukan kerja yang hebat sepanjang mengharungi pertandingan berkenaan.
Akui Aina, meskipun tidak berjaya membawa pulang kemenangan, pengalaman serta sokongan yang diterima sepanjang perjalanan itu sudah cukup bermakna buat dirinya.
“Walaupun tidak menang, tapi kita sudah memenangi hati masing-masing dan itu paling penting,” katanya.
Aina turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang penyertaannya dalam pertandingan berkenaan.
Aina berharap dapat kembali bertemu peminat menerusi projek seni, konsert dan pelbagai perancangan lain selepas ini.
“Terima kasih dari lubuk hati saya atas segala sokongan. Saya sayangkan anda semua,” katanya.
Aina yang mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Bluest Sky mewakili Malaysia pada Eurovision Song Contest Asia 2026 yang menghimpunkan wakil dari 11 negara Asia. – BH Online –
IMedikel TV






