Home Segmen Kesihatan PENYAKIT JARANG JUMPA BUKAN SEKADAR NAMA ASING, KESEDARAN AWAL MAMPU UBAH KEHIDUPAN...

PENYAKIT JARANG JUMPA BUKAN SEKADAR NAMA ASING, KESEDARAN AWAL MAMPU UBAH KEHIDUPAN PESAKIT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Lebih 7,000 jenis penyakit jarang jumpa dikenal pasti di seluruh dunia, namun di sebalik nama yang mungkin asing bagi kebanyakan masyarakat, terdapat jutaan keluarga yang berdepan perjuangan panjang memahami keadaan kesihatan insan tersayang.

Dianggarkan lebih 300 juta individu di seluruh dunia hidup dengan penyakit jarang jumpa, dengan kira-kira 70 peratus daripadanya bermula sejak zaman kanak-kanak.

Pakar dalam bidang Penjujukan Genetik Pediatrik dan Pendekatan Rawatan Awal bagi penyakit jarang jumpa (Paediatric Genetic Sequencing and Pre-emptive Treatment of rare diseases), Dr. Tae Sok Kun, berkata penyakit berkenaan bukan sahaja boleh menjejaskan pergerakan, pertuturan dan perkembangan kanak-kanak, malah berpotensi membabitkan pelbagai organ tubuh, termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati.

“Namun, cabaran utama yang dihadapi pesakit dan keluarga bukan sekadar menguruskan gejala penyakit, sebaliknya mendapatkan diagnosis tepat apabila keadaan yang dialami sukar dikenal pasti dan mempunyai persamaan dengan penyakit lain.

“Bagaimanapun tiada angka rasmi yang boleh dipercayai ketika ini mengenai jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang hidup dengan pelbagai jenis penyakit jarang jumpa,” katanya kepada IMedikel TV.

Dr Tae berkata penyakit berkenaan mempunyai punca berbeza, dengan banyak daripadanya berkaitan perubahan atau mutasi genetik yang boleh diwarisi daripada ibu bapa atau berlaku buat kali pertama pada seseorang individu.

“Tidak semua penyakit jarang jumpa berpunca daripada faktor genetik kerana sebahagiannya boleh dikaitkan dengan jangkitan, masalah sistem imun, faktor persekitaran atau sebab lain.

“Gejala yang dialami juga berbeza mengikut jenis penyakit, termasuk kelewatan perkembangan, kesukaran belajar dan berkomunikasi, sawan, kelemahan otot, masalah pergerakan, gangguan pertumbuhan, kesakitan kronik serta jangkitan berulang.

“Ada kanak-kanak yang menunjukkan tanda penyakit sejak lahir, manakala sebahagian lagi hanya mengalami gejala ketara ketika membesar atau apabila dewasa,” katanya.

Jelas Dr Tae keadaan itu menyebabkan sesetengah keluarga terpaksa melalui perjalanan panjang mendapatkan diagnosis, atau dikenali sebagai ‘diagnostic odyssey’, apabila mereka berulang kali mendapatkan pemeriksaan daripada doktor dan pakar untuk mengetahui punca sebenar keadaan anak.

DIAGNOSIS AWAL BANTU PESAKIT

Dr Tae berkata antara aspek penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit jarang jumpa ialah kepentingan mendapatkan penilaian perubatan apabila seseorang menunjukkan gejala yang membimbangkan atau mengalami masalah kesihatan yang berpanjangan tanpa penjelasan jelas.

“Ujian genetik boleh membantu mengenal pasti punca genetik bagi sesetengah penyakit apabila doktor mengesyaki keadaan berkenaan.

“Diagnosis yang disahkan membolehkan doktor merancang pengurusan perubatan bersesuaian, membantu keluarga memahami keadaan pesakit dan memberikan maklumat mengenai kemungkinan risiko penyakit berulang dalam keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, ujian genetik tidak sesuai untuk semua pesakit dan tidak menjamin diagnosis. 

Keperluannya perlu ditentukan melalui penilaian perubatan serta rujukan yang bersesuaian.

Rawatan pula bergantung pada jenis penyakit. Sesetengah keadaan mempunyai rawatan yang menyasarkan punca genetik tertentu, manakala bagi penyakit lain, penjagaan lebih tertumpu kepada mengawal gejala, mencegah komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

KISAH PESAKIT BUKA MATA MASYARAKAT

Dalam pada itu, Dr Tae berkata kepentingan memahami penyakit jarang jumpa turut dapat dilihat menerusi pengalaman Dhia Amanda Saifol Sujak, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang mendapat perhatian Suriana Welfare Society pada September 2025 melalui laporan Free Malaysia Today.

Katanya Dhia Amanda didiagnosis dengan penyakit genetik jarang berlaku dikenali sebagai GNAO1, yang menyebabkan impuls elektrik tidak normal dalam otak sehingga menjejaskan pergerakan, pertuturan dan komunikasinya.

“Dia mengalami kekejangan tidak terkawal serta distonia, iaitu keadaan yang menyebabkan otot menegang dan pergerakan tidak normal.

“Dhia Amanda menjalani pembedahan Deep Brain Stimulation (DBS), iaitu prosedur berisiko tinggi yang menggunakan cip bernilai RM150,000 untuk membantu mengawal impuls tidak normal dalam otaknya,” katanya.

Katanya pihak Suriana berjaya mengumpulkan RM311,000 bagi membiayai pembedahan dan penjagaan susulan kanak-kanak itu.

Selain Dhia Amanda, terdapat pesakit lain yang turut berdepan cabaran besar akibat penyakit jarang jumpa.

Iman dan Amani, misalnya, menghidap Harlequin Ichthyosis, keadaan kulit sangat jarang berlaku yang menyebabkan bayi dilahirkan dengan lapisan kulit luar luar biasa tebal dan menyerupai kepingan.

Dr Tae berkata keadaan itu boleh mengehadkan pergerakan sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, selain mendedahkan pesakit kepada risiko penolakan masyarakat kerana penampilan fizikal yang berbeza.

Firdaus Mehat pula adalah individu pertama di Malaysia yang didiagnosis dengan Ichthyosis, gangguan genetik yang menyebabkan kulit menjadi kering, tebal dan kasar seperti sisik ikan apabila sel kulit mati tidak tertanggal secara normal.

Keadaan Firdaus turut menjejaskan bahagian mata apabila beliau tidak mempunyai bulu mata dan kening, selain tidak dapat menutup atau mengerdipkan mata.

Sementara itu, Iha Zaliza dilahirkan dengan Osteogenesis Imperfecta, penyakit genetik yang juga dikenali sebagai penyakit tulang rapuh. Sepanjang hidupnya, beliau mengalami lebih 100 patah tulang dan menjalani 13 pembedahan sejak berusia tujuh tahun.

Kisah pesakit berkenaan menggambarkan cabaran yang perlu ditanggung individu dengan penyakit jarang jumpa, termasuk keterbatasan fizikal dan risiko menghadapi stigma serta penolakan masyarakat.

KESEDARAN BUKAN SEKADAR MENGENALI PENYAKIT

Dr Tae berkata bagi memperkukuh sokongan terhadap pesakit dan keluarga, pihak Suriana bekerjasama dengan Pasukan Genetik Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mewujudkan Genetic Testing Support Fund bagi membantu kanak-kanak yang disyaki menghidap penyakit jarang jumpa mendapatkan ujian genetik diagnostik lebih awal.

“Kos ujian berkenaan bermula sekitar RM5,000 bagi seorang kanak-kanak, manakala pemeriksaan yang lebih kompleks boleh menelan belanja jauh lebih tinggi bergantung pada jenis analisis diperlukan.

“Dana itu diwujudkan bagi membantu kanak-kanak yang layak dan dirujuk untuk menjalani ujian genetik melalui PPUM, terutama daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan,” katanya.

Menerusi inisiatif Because It’s Rare, We Care, Suriana memberi tumpuan kepada lima bidang utama, iaitu kesedaran dan advokasi, pengesanan serta intervensi awal melalui ujian diagnostik, bantuan kewangan kepada keluarga, kaunseling genetik dan penjagaan sepanjang hayat.

Usaha itu turut membabitkan pengasas dan bekas Presiden Malaysian Rare Disease Society, Datuk Hatijah Ayob, serta seorang lagi pakar genetik pediatrik Profesor Thong Meow Kong.

Pihak Suriana turut mengalu-alukan penyertaan rakan korporat dan penyumbang kebajikan untuk membantu memperluas akses ujian genetik kepada kanak-kanak yang memerlukannya.

“Kesedaran mengenai penyakit jarang jumpa bukan sekadar mengenali nama penyakit atau memahami gejalanya, tetapi juga memberi ruang kepada pesakit untuk diterima masyarakat tanpa prejudis, selain memastikan keluarga mendapat sokongan ketika berusaha mencari jawapan,” katanya.

Bagi keluarga yang sekian lama tertanya-tanya tentang keadaan anak mereka, diagnosis yang lebih awal boleh menjadi langkah penting untuk memahami penyakit, merancang penjagaan dan mendapatkan intervensi yang bersesuaian.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here