Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bertindak memeriksa 115 kenderaan pada Operasi Bersepadu di Kilometer 60, Jalan Kuantan–Segamat, dekat sini kelmarin.
Operasi turut disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Pekan serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pekan yang menumpukan pada kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk ujian saringan dadah.
Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, sepanjang operasi pihaknya memeriksa sebanyak 115 kenderaan, daripada jumlah itu sebanyak 52 notis dikeluarkan dan 23 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan teknikal serta pelanggaran peraturan jalan raya.
Menurutnya, operasi turut membabitkan ujian saringan dadah terhadap 20 individu oleh pihak AADK Pekan dan hasil saringan awal mendapati seorang lelaki dikesan positif dadah jenis Methamphetamine.
“Operasi bersepadu yang diadakan mencerminkan komitmen berterusan JPJ Negeri Pahang bersama agensi penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta memperkukuh keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita akan terus mengadakan operasi bersepadu secara berterusan membabitkan semua daerah di negeri ini sebagai langkah memastikan pemandu kenderaan mematuhi peraturan,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang diadakan bukan bertujuan menyusahkan pemandu dan penumpang kenderaan, sebaliknya lebih kepada mematuhi peraturan dan undang-undang demi keselamatan pengguna jalan raya.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, beberapa laluan utama di negeri ini menjadi tumpuan operasi pemeriksaan kenderaan ringan termasuk kenderaan perdagangan.
“Kita tidak berkomunikasi dengan pemandu yang melakukan apa juga kesalahan jalan raya kerana kesalahan yang dilakukan boleh mengundang kesusahan pada pengguna jalan raya lain,” katanya.
IMedikel TV






