Home Buletin Semasa PLATFORM E-DAGANG ASING WAJIB PATUH UNDANG-UNDANG MALAYSIA

PLATFORM E-DAGANG ASING WAJIB PATUH UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Platform e-dagang asing yang beroperasi di Malaysia perlu mematuhi undang-undang, piawaian dan kewajipan percukaian negara bagi memastikan persaingan yang adil dengan usahawan tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong, berkata kerajaan tidak menghalang persaingan dalam pasaran terbuka, namun mahu memastikan semua pemain industri bersaing dalam ekosistem yang sihat tanpa menjejaskan peniaga kecil tempatan.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dikenakan terhadap mana-mana platform atau pemain luar negara yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Jika mana-mana pesaing dari luar negara datang ke negara kita tetapi tidak mematuhi undang-undang negara, perlu ada penguatkuasaan segera.

“Kita tidak boleh hanya menyalahkan orang luar, sebab pada masa sama kita perlu memperkasakan usahawan tempatan dari segi dana, modal, ilmu, kursus dan kaedah pemasaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tiktok Shop Live Hub X Tekun Nasional di Tiktok Shop Live Hub Pulau Pinang di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Steven Sim berkata, kerajaan turut memastikan platform e-dagang asing mematuhi keperluan sama seperti peniaga tempatan termasuk aspek percukaian serta piawaian produk.

Katanya, barangan elektrik perlu mematuhi piawaian SIRIM, manakala produk makanan pula perlu memenuhi keperluan agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Apa yang dikenakan kepada orang Malaysia, platform e-dagang asing juga perlu patuh. Kita mahu mewujudkan persaingan yang adil supaya semua pihak berada dalam keadaan yang sama rata,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga sedang memberi perhatian terhadap penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang baharu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang dijangka dibentangkan awal tahun depan.

Katanya, KUSKOP terbabit dalam proses memberi maklum balas bagi memastikan kepentingan usahawan tempatan, khususnya perusahaan mikro dan kecil, turut diberi perhatian dalam peraturan baharu itu.

Dalam pada itu, Steven berkata KUSKOP melalui TEKUN Nasional kini mempunyai 12 studio TikTok Live Hub di enam negeri iaitu Sabah, Johor, Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan diwujudkan bagi membantu usahawan kecil mempelajari kemahiran pemasaran digital selain menggunakan platform TikTok Live dan TikTok Shop untuk mengembangkan perniagaan.

Katanya, hampir 1,300 usahawan di bawah KUSKOP telah menggunakan kaedah berkenaan dengan nilai jualan melebihi RM45 juta setakat ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here