Home Buletin Semasa 2,000 PIL YABA BERNILAI RM20,000 DIRAMPAS, LELAKI DITAHAN

2,000 PIL YABA BERNILAI RM20,000 DIRAMPAS, LELAKI DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan selepas polis merampas 2,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba bernilai RM20,000 dalam Op Tapis di Rantau Manis, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna biru tanpa nombor pendaftaran ditahan di hadapan tandas Lapang Sasar Rantau Manis.

“Hasil pemeriksaan terhadap motosikal itu menemukan sebuah beg plastik berwarna hitam di dalam raga sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik mengandungi 2,000 biji pil disyaki yaba dengan berat keseluruhan 200 gram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM20,000, manakala motosikal berkenaan turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang terbabit serta mengesan sumber bekalan dadah berkenaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here