Home Buletin Semasa BOTOL, SAMPAH PLASTIK PUNCA PAM AIR ATASI BANJIR ROSAK

BOTOL, SAMPAH PLASTIK PUNCA PAM AIR ATASI BANJIR ROSAK

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Perbuatan membuang sampah ke dalam sistem perparitan menjadi antara punca rumah pam tersumbat hingga mengganggu aliran air seterusnya menyebabkan banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif, berkata orang ramai diharap tidak membuang sampah terutamanya botol-botol plastik ke dalam sungai kerana ia berisiko menyebabkan rumah pam tersumbat dan rosak.

Menurutnya, agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang sentiasa berusaha untuk mengatasi berlakunya banjir dengan menyediakan sistem perparitan yang sempurna, namun tanpa kerjasama masyarakat mustahil kejadian banjir dapat diatasi.

“Ketika kejadian banjir tahun lalu saya turun padang bersama penduduk setempat melakukan kerja membersih botol berhampiran rumah pam di Kampung Razali apabila terdapat banyak sampah termasuk botol masuk ke dalam pam air.

“Sampah yang masuk ke dalam pam air menyebabkan kemudahan itu tersumbat berhenti seterusnya rosak,” katanya pada Majlis Flag-Off Misi Penghantaran Barang Keperluan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Daerah Kuantan di Dewan Seri Inderapura, di sini kelmarin.

Hadir sama Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan, Raja Muhd Uliyamin Raja Yunus.

Di daerah ini terdapat sebanyak 19 pangkalan hadapan (PH) dan 131 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatkan kira-kira 32,730 mangsa banjir pada satu masa.

Shafik Fauzan berkata, pihaknya menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pihak yang cakna boleh tampil membantu mengadakan program membersih sampah dan botol plastik dalam sistem perparitan termasuk sungai.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah dan sedang melakukan pelbagai usaha bagi mengelakkan kejadian banjir yang berpunca daripada pengaliran air tidak lancar.

Sebagai contoh, katanya di Kampung Razali, di sini, JPS sedang membina pintu air atau flood gate agar dapat menyekat air pasang dari laut daripada masuk ke dalam kawasan kampung dan air hujan yang bertakung di kawasan kampung boleh di pam keluar.

“Usaha berkenaan tidak akan berhasil tanpa sokongan penduduk setempat dengan tidak membuang sampah ke sistem perparitan dan sungai.

“Setiap kali musim tengkujuh berlaku sistem perparitan dipenuhi dengan pelbagai jenis sampah hingga menjejaskan aluran air seterusnya mengundang banjir,” katanya yang berharap masyarakat bersyukur dengan kemudahan disediakan kerajaan setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) berlaku.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here